November 30, 2010

Hampir pengsan lihat mayat anak tepi jalan raya

KANGAR: Seorang duda hampir pengsan apabila melihat mayat anak bongsunya berusia enam tahun terbujur kaku di tepi jalan raya selepas dilanggar sebuah lori kuari di Jalan Sungai Batu Pahat, berhampiran Ladang Harum Manis, dekat sini, semalam.

Mangsa, Zaqwan Iskandar Zainuddin, murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Abi, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar kenderaan berat terbabit ketika menunggang basikal seorang diri untuk mencari abangnya, kira-kira jam 11.35 pagi.

Bapa mangsa, Zainudin Mat Said, 41, pekerja kuari di situ, berkata ketika tiba di tempat kejadian, mayat anaknya sudah ditutup dengan daun pisang dan dia terketar-ketar membukanya untuk melihat mayat berkenaan.

“Selepas diangkat daun pisang itu, sah mayat terbabit anak bongsu saya. Ketika itu, saya tidak mampu bersuara dan terdiam sebelum ditenangkan rakan-rakan.

“Darah masih mengalir keluar daripada mulut dan hidung Zaqwan ketika saya tiba di tempat kejadian. “Arwah mungkin mengalami kecederaan dalaman akibat digilis lori kuari berkenaan,” katanya ditemui di rumahnya di Jalan Harumanis Sungai Batu Pahat, dekat sini, semalam.

Katanya, selepas bercerai dengan isteri setahun lalu, Zaqwan yang petah bercakap menjadi teman tidurnya dan kehilangannya begitu dirasai.

“Dia bakal menduduki tahun satu di Sekolah Kebangsaan Abi, Januari depan.

“Buku dan beg sekolahnya untuk persekolahan tahun depan ada dalam simpanan saya di rumah. Saya tak sempat melihatnya memasuki alam persekolahan sebenar bersama abang dan kakaknya berusia 10 dan 12 tahun,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu Pahat, jam 6.30 petang semalam. Isteri Menteri Besar, Datin Seri Asiah Asmuni, hadir pada majlis pengebumian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat dirempuh sebuah lori kuari dalam kejadian jam 11.35 pagi.

Katanya, lori tanpa muatan kuari terbabit datang dari arah Kangar menuju ke Sungai Batu Pahat dikatakan menyeret mangsa sejauh 15 meter bersama basikal ditungganginya.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah menahan pemandu lori berasal dari Changlun, Kedah berusia 53 tahun itu untuk diambil keterangan.

myMetro
30 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment