September 30, 2010

Lelaki buat laporan palsu dakwa tunang diculik

KUALA LUMPUR: Tidak ubah seperti sengaja mempermainkan polis apabila seorang lelaki membuat laporan palsu mendakwa tunangnya berusia 21 tahun tahun diculik dan dilarikan empat lelaki tempatan menaiki sebuah kereta.

Lebih mengejutkan apabila ‘mangsa’ sendiri cuba menipu polis dengan mendakwa kononnya diperkosa seorang daripada lelaki yang menculiknya di hadapan sebuah rumah tumpangan di Jalan Maxwell, Rawang di sini, kelmarin.

Dalam laporannya, lelaki berusia 29 tahun bekerja sebagai juruelektrik itu mendakwa empat lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berwarna biru menarik tunangnya ke dalam kenderaan sebelum melarikan diri.

Sumber polis berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.45 pagi ketika lelaki terbabit dan tunangnya yang bekerja di sebuah kilang plastik di Rawang berada di hadapan rumah tumpangan berkenaan.

“Dalam laporan dibuat pada jam 1.59 pagi itu, lelaki itu mendakwa dua daripada empat suspek bertindak keluar dari kereta dan menghampirinya sambil memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Mereka kemudian menarik tunangnya ke dalam kereta menyebabkan lelaki berkenaan yang panik melarikan diri untuk mendapatkan bantuan daripada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, apabila kembali ke tempat kejadian, lelaki terbabit mendapati tunangnya sudah tiada.

Beliau berkata, polis yang menerima laporan berkenaan kemudian segera menjalankan siasatan dan menghantar seorang pegawai penyiasat ke rumah rakan mangsa di Batang Kali di sini, kira-kira jam 8.30 malam keesokannya.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan, mangsa kebetulan sedang menghubungi rakannya itu dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan dia sudah berada di rumahnya di Taman Tasek Teratai di Serendah.

“Polis yang memeriksa SMS dihantar mangsa kepada rakannya pada jam 7.50 dan 7.53 malam mendapati tiada unsur ugutan yang menggambarkan mangsa berada dalam keadaan bahaya ketika itu,” katanya.

Berikutan itu, polis pergi ke rumah mangsa namun mangsa dan tunangnya tiada di situ. Pada jam 9.15 malam, polis mengesan mereka berada di sebuah kedai berhampiran kawasan perumahan berkenaan.

myMetro
30 Sep 2010

0 comments:

Post a Comment