September 30, 2010

Bayi 3 bulan mati dalam buaian

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan disedari mati di dalam buaian ketika sedang tidur dalam jagaan pengasuhnya, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pengasuh berusia 51 yang juga jiran kepada keluarga mangsa mendapati bayi berkenaan tidak sedarkan diri walaupun beberapa kali cuba dikejutkan.

Pengasuh terbabit kemudian segera menghubungi ibu bapa bayi itu untuk memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa kepada bayi itu kemudian bergegas ke rumah pengasuhnya di Jalan Dutamas, Sentul, di sini, sebelum menghantar anaknya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Apabila tiba di HKL, anaknya dirawat di wad kecemasan dan doktor mengesahkan bayi berkenaan sudah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal pada badannya dan mangsa disahkan tidak didera,” katanya, semalam.

Keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas kematian anaknya itu.

“Bedah siasat hari ini (semalam) juga mendapati tiada kesan kecederaan dalaman dan fizikal bayi berkenaan. Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR).

“Namun siasatan masih lagi dijalankan dan polis masih menunggu keputusan makmal terhadap sampel darah serta tisu mangsa bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.

Difahamkan, bapa mangsa seorang pekerja swasta manakala ibunya pula bekerja sebagai jururawat di ibu negara.

myMetro
30 Sep 2010


Bayi 3 bulan mati di rumah pengasuh

Tiada kesan kecederaan fizikal luaran, dalaman

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan ditemui mati dalam buaian di rumah pengasuhnya di kawasan perumahan, di Jalan Dutamas di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pengasuh wanita berusia 50 tahun, dikatakan sedang mendodoikan Danish Noor Rasmazi sebelum mendapati bayi berkenaan tidak bergerak dan bertindak menelefon bapanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, bapa Danish yang bekerja sebagai pegawai bank bergegas pulang ke rumah dan membawa anaknya itu ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Laporan perubatan mengesahkan Danish sudah meninggal dunia sebelum beliau dibawa ke HKL.

Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian secara mengejut sementara menunggu laporan ujian air kencing dan darah Danish daripada pihak hospital, katanya di sini, semalam.

Zakaria berkata, Danish ditinggalkan bersama pengasuhnya sejak sebulan lalu, selepas ibunya yang bekerja sebagai jururawat baru saja memulakan tugas sebaik saja habis berpantang.

Katanya, hasil laporan bedah siasat menunjukkan tiada kesan kecederaan fizikal luaran dan dalaman pada badan bayi itu.

Bagaimanapun, katanya, polis akan menjalankan siasatan sebaik saja menerima laporan ujian air kencing dan darah mangsa.

Berita Harian
30 Sep 2010

1 comment: