September 30, 2010

Pencari lokan jumpa tulang, tengkorak manusia

MARANG: Seorang lelaki yang mencari lokan di sebuah alur sungai terkejut apabila menemui satu tengkorak dan tulang manusia dalam keadaan berselerak, kelmarin.

Lelaki berusia 45 tahun yang mencari lokan kira-kira jam 4.30 petang di belakang tapak pelupusan sisa pepejal Majlis Daerah Marang berhampiran hutan nipah di Kampung Gong Sepah, di sini, segera menghubungi talian 999 sebelum disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui tengkorak serta tulang tanpa cebisan daging.

“Polis tidak menemui sebarang pakaian atau dokumen pengenalan diri berhampiran rangka berkenaan dan hanya menemui seutas jam tangan dipercayai milik seorang wanita yang boleh dijadikan petunjuk memungkinkan mangsa seorang wanita dewasa.

“Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu yang dihantar ke tempat kejadian bersama Jabatan Patologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mengutip tulang berkenaan mendapati bilangannya tidak mencukupi sebagai manusia normal,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di IPK, semalam.

Beliau berkata, tengkorak dan tulang terbabit kemudian dihantar kepada pakar patologi sebuah hospital di Kuantan, Pahang untuk tindakan lanjut bagi mendapat maklumat berkaitan punca kematian dan jantina mangsa.

Menurutnya, polis tidak dapat mengulas lanjut kes berkenaan dan hanya membuka laporan sebagai kes mati mengejut hingga ada perkembangan berkaitan penemuan tulang dan tengkorak berkenaan.

Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai mempunyai maklumat berkaitan atau kehilangan ahli keluarga menghubungi IPD Marang di talian 09-6182222 bagi membantu siasatan.

myMetro
30 Sep 2010

0 comments:

Post a Comment