July 2, 2010

Ragut: Mekanik dijel tiga tahun, didenda

KUALA LUMPUR 1 Julai - Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah didapati bersalah meragut seorang pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Fareez Mohd. Fauzi, 25, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes tersebut.

Dalam keputusannya, Zaki Asyraf menyatakan, keterangan pembelaan yang diberikan oleh tertuduh ditolak oleh mahkamah kerana ia hanya rekaan dan penafian semata-mata serta tidak berasas.

Mohd. Fareez disabitkan kesalahan meragut seutas rantai leher emas yang dianggarkan bernilai RM700 milik wanita yang hanya dikenali sebagai Sri Murnilawati, 30, di alamat 79A, Jalan 1/5A, Taman Melati, Setapak dekat sini pada pukul 9 malam, 2 Mac 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Mohd. Fareez untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dengan syarat jumlah denda itu dibayar dan notis rayuan difailkan hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias manakala tertuduh diwakili peguam bela K. Komagan.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak tiga saksi pendakwaan tampil memberi keterangan manakala seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri memberi keterangan bela diri secara bersumpah dari kandang saksi.

Mengikut fakta kes, mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki di kawasan perumahan Taman Melati tiba-tiba diragut oleh tertuduh yang membonceng motosikal jenis Yamaha bernombor pendaftaran WDJ 3035.

Pembantu rumah itu kemudiannya bertindak menyepak tertuduh tetapi lelaki tersebut berjaya membalas sepakan itu sehingga menyebabkan wanita itu cedera di siku kanannya.

Tertuduh cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh jiran mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Utusan
2 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment