July 2, 2010

Rumah tradisional Melaka jadi tarikan


ALOR GAJAH 1 Julai - Rumah kayu atau rumah kampung pada suatu masa dulu boleh dikatakan tidak asing bagi orang Melayu. Reka bentuknya yang begitu unik dan tidak berpaku menjadikan ia lain daripada yang lain.

Rumah tradisional yang dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu berciri bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.

Menariknya, rumah Melayu itu kerana ia mempunyai tangga batu utama di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik. Halaman rumah tradisional itu biasanya dihias dengan pelbagai jenis bunga.

Di negeri ini terdapat beberapa buah rumah Melayu lama yang dinamakan rumah Melayu Melaka dan menjadi salah satu produk pelancongan.

Pelancong yang datang melawat negeri ini pasti terpukau dengan keindahan reka bentuk rumah warisan ini yang dijaga rapi dan ada sesetengah rumah tersebut di bawah penjagaan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Antara rumah-rumah yang mendapat sambutan ialah Rumah Tradisional Melayu Pondok Kempas, Bukit Godek dan Pengkalan Batu serta Rumahku Muziumku di Padang Temu.

Namun begitu, di sebalik penjagaan rapi rumah yang sudah popular di kalangan pelancong kini, masih terdapat rumah Melayu lama dibiarkan begitu sahaja.

Bagi sesetengah orang yang masih memelihara rumah warisan tersebut, mereka bukan sahaja memastikan reka bentuknya kekal malah turut menghiaskan laman rumah dengan pokok-pokok bunga.

Inisiatif tuan rumah seharusnya dipuji kerana bukan sahaja mencantikkan laman malah akan menjadikan persekitaran rumah tersebut sentiasa segar.

Seorang penghuni rumah Melayu Melaka di sini, Endon Said, 73, berkata, rumah yang didiami sejak lahir itu sering dikunjungi pelancong.

Rumah yang sudah wujud sejak 100 tahun lalu itu merupakan peninggalan keluarganya kepada Endon dan suami, Aziz Kesah, 75, dijaga sebaik mungkin sehingga kini.

Usaha pasangan suami isteri ini berbaloi apabila terpilih sebagai penerima tempat pertama johan dalam pertandingan Rumah Tradisional Halaman Cantik Negeri Melaka sebanyak sembilan kali berturut-turut.

"Pengunjung tertarik dengan reka bentuk rumah yang mengekalkan seni bina tradisi selain halaman yang dipenuhi pelbagai jenis pokok,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Endon, minatnya terhadap hiasan laman rumah muncul sejak 18 tahun lalu apabila dia mula mendapatkan pelbagai jenis pokok bunga daripada jiran-jiran dan saudara mara.

"Pada mulanya, saya cuma mendapatkan pokok-pokok ini daripada jiran-jiran dan saudara. Saya tanam sedikit demi sedikit dan akhirnya menampakkan hasil apabila laman rumah kelihatan cantik dan kemas.

"Saya tidak pernah berasa penat lakukan semua ini disebabkan minat. Saya kumpul duit hasil pemberian anak-anak dan saya lakukan aktiviti ini. Tenang melihat halaman rumah cantik dan bersih," kata Endon.

Selain pokok bunga, Endon dan suami juga menggunakan bahan kitar semula sebagai hiasan.

Terdapat pelbagai barang terbuang yang diguna semula seperti tin yang digunakan untuk hiasan di pagar rumah, kelompang telur dicat pelbagai warna menghiasi pokok-pokok bunga di sekitar halaman rumah dan buah kelapa yang dijadikan pasu.

Menurut Endon, dia menggunakan barang-barang kitar semula sebagai salah satu penyeri lamannya dan juga bahan sokongan tanaman supaya tidak melingkar secara liar.

"Daripada melihat bahan-bahan yang boleh diguna semula terbuang, lebih baik saya ambil dan bersihkan untuk dijadikan hiasan," katanya.

Tambah Endon lagi, pernah juga pokok-pokok yang ditanam itu rosak dan adakalanya pokok yang tumbuh meninggi semakin jatuh ke bawah.

"Apabila melihat keadaan pokok yang hampir jatuh, saya dapatkan kayu atau besi yang dapat menampung pokok-pokok tersebut," katanya.

Endon dan suami menerima pelbagai kunjungan bukan sahaja dari dalam negara, malah masyarakat luar Malaysia turut menjadikan rumahnya sebagai pilihan.

Utusan
1 Jul 2010


Khazanah warisan ini wajar dinaik taraf




MELAKA 1 Julai - Rumah tradisional Melayu Melaka di kawasan Londang akan terus dinaik taraf bagi memastikan khazanah warisan ini tidak akan dilupakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Ab. Karim Sulaiman (gambar) berkata, walaupun kawasan tersebut terkenal dengan pantai yang menjadi tarikan pelancongan, namun rumah tradisional Melayu Melaka tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Menurut beliau, pihaknya akan sentiasa memantau rumah-rumah tradisional Melayu ini agar ia tidak terabai dan mempunyai perancangan untuk menaik taraf rumah-rumah yang berpotensi menjadi tarikan pelancong.

"Di kawasan ini, dua rumah tradisional di Londang dan Jeram sudahpun dinaik taraf dan berharap selepas ini lebih banyak rumah yang dapat dinaik taraf.

"Ia bertujuan agar warisan rumah tradisional lama ini dapat dikekalkan sampai bila-bila," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau turut mengulas, dengan adanya inisiatif menaik taraf rumah-rumah tradisional ini ia mampu meningkatkan taraf hidup pemilik rumah tersebut.

"Kebanyakan pemilik rumah tersebut sudahpun berumur dan apa salahnya jika mereka mengambil peluang ini untuk menambahkan pendapatan mereka melalui pelancongan," katanya.

Menurutnya, mereka yang memiliki rumah tradisional Melayu Melaka ini sememangnya beruntung kerana bukan semua mampu memiliki khazanah warisan pada masa kini.

"Saya berharap mereka yang memiliki rumah tradisional tersebut tidak akan membiarkan khazanah tersebut dan jika tidak berminat, adalah lebih elok jika mereka menjual rumah tersebut kepada sesiapa yang boleh menjaganya," katanya lagi.

Ab. Karim berkata, bagi mengekal dan menarik minat pemilik-pemilik rumah tradisional Melayu Melaka ini untuk menjaga rumah tersebut, pelbagai pertandingan telah diadakan antaranya ialah pertandingan rumah dan laman tercantik.

Utusan
1 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment