July 2, 2010

Lelaki 90 tahun rogol 4 kanak-kanak

BANGKOK - Seorang warga emas dari Australia ditahan dan didakwa atas kesalahan merogol empat adik-beradik perempuan di Chiang Mai, Thailand.

Karl Joseph Kraus, 90, didapati memujuk kanak-kanak berkenaan dengan memberi coklat import dan kononnya mahu mengajar kelas Bahasa Inggeris, sebelum merogol mereka di rumahnya.

Adik-beradik yang menjadi mangsa kerakusan seks lelaki itu berumur antara 5 dan 13 tahun semasa kejadian, dua tahun lalu.

"Kraus ditahan di rumahnya pada Selasa dan polis menemui 100 foto kanak-kanak bogel.

"Lelaki itu turut beraksi bogel bersama kanak-kanak lain dalam beberapa foto itu dan polis sedang mengesan keluarga mereka," kata Ketua Polis Doi Saket, Kritapol Yeesakorn.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan Kraus terlibat dalam sindiket pedofilia, atau seks kanak-kanak, kerana kebanyakan foto terbabit telah dikirim melalui e-mel ke beberapa negara.

Lelaki warga Australia itu tinggal di Thailand sejak hampir sepuluh tahun lalu dan mengunjungi ibu bapa kanak-kanak itu sambil menawarkan diri mengajar Bahasa Inggeris.

"Lelaki itu memujuk mangsa dengan coklat import sebelum memaksa mereka terlibat dalam aksi seksual bersamanya dan aksi-aksi itu dirakam menggunakan kamera," kata Kritapol.

Perbuatan Kraus terbongkar apabila ibu bapa adik-beradik berkenaan menyoal mereka selepas keempat-empat kanak-kanak itu mula bersikap murung.

"Ibu bapa itu segera membuat laporan polis dan waran tangkap dikeluarkan serta merta. Kraus didakwa atas jenayah rogol dan penderaan seks," katanya.

Beberapa penjenayah pedofilia berprofil tinggi pernah ditangkap di Thailand sebelum ini, termasuk seorang lelaki Kanada yang memuat naik di Internet foto aksi seks bersama kanak-kanak lelaki warga Vietnam dan Kemboja pada tahun 2007.

Sinar Harian
2 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment