July 5, 2010

Anak cemas SMS ibu


KUANTAN: “Ketika baru hendak melelapkan mata, saya terdengar bunyi bising dari arah bawah (rumah) seperti orang bertukang dan mengesyaki ada orang pecah masuk rumah.

“Dalam ketakutan, saya segera menghantar SMS kepada ibu memaklumkan perkara itu,” kata Wan Ahmad Izaidin, 14, anak bongsu Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat, menceritakan detik cemas ketika rumahnya di Jalan Teluk Sisek di sini, dimasuki lima perompak, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, empat daripada perompak terbabit mati ditembak polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas dihubungi Wan Adnan manakala seorang lagi melarikan diri.

Wan Ahmad Izaidin berkata, dia menghantar SMS berkenaan kepada ibunya, Datin Rosaliza Datuk Ahmad Baharuddin, 45, kerana tidak berani keluar bilik untuk memeriksa bunyi itu.

“Ibu memaklumkan kepada ayah sebelum dia menyuruh saya jangan keluar bilik dan menyambung tidur. Hati saya berdebar-debar memikirkan kemungkinan penceroboh itu memasuki bilik saya.

“Hati saya bertambah kecut apabila terdengar bunyi tembakan bertalu-talu di luar rumah tak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, dia hanya mendiamkan diri dalam bilik sehingga diarah keluar oleh ayahnya dan terkejut apabila dimaklumkan polis menembak mati empat perompak yang memasuki rumahnya manakala seorang lagi melarikan diri.

Sementara itu, Wan Adnan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur berkata, sebaik dimaklumkan isterinya mengenai SMS dihantar Wan Ahmad Izaidin, dia turut memberi peringatan supaya jangan keluar bilik kepada dua lagi anaknya, Wan Ahmad Hishamudin, 17, dan Wan Nurlizayika, 16, serta mentuanya, Datuk Ahmad Baharuddin Mohd Akil, 81, dan Datin Bahariah Abdullah, 74.

“Sebelum kejadian, saya dan isteri bersama tiga anak tidur di bilik tingkat atas, manakala mentua serta dua pembantu rumah berada di bilik tingkat bawah.

“Saya tidur ketika isteri menerima SMS daripada anak bongsu kami memberitahu ada penyamun dalam rumah. Saya cuba bertenang dan segera menghantar pesanan kepada semua anak dan mentua supaya jangan keluar bilik sebelum menghubungi polis.

“Tidak lama selepas itu, saya terdengar tembakan bertalu-talu dari arah luar rumah, namun bimbang untuk menjenguk kerana khuatir penjenayah terbabit masuk semula ke rumah. Saya dan anggota keluarga yang lain hanya keluar dari bilik selepas polis mengetuk pintu.

“Ketika itu baru saya sedar, lima penjenayah menceroboh masuk ke rumah saya dan empat daripadanya sudah mati ditembak polis yang mengepung kawasan rumah saya,” katanya.


DIROMPAK...Wan Adnan (kanan) ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Wan Adnan berkata, pemeriksaannya mendapati penjenayah terbabit dipercayai masuk melalui pintu di tepi rumah selepas mengumpilnya sebelum menggeledah bilik belajar anaknya di tingkat atas.

“Bilik tidur kami semua berkunci dan hanya bilik belajar itu tidak berkunci menyebabkan penjenayah terbabit menggeledah bilik itu sebelum mengambil wang RM300 dalam dompet anak perempuan saya.

“Penjenayah terbabit dipercayai bersedia untuk memecahkan pintu bilik lain dengan menggunakan tong gas memasak yang diambil di dapur, tetapi melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis,” katanya.

Menurutnya, walaupun mereka sekeluarga trauma dengan kejadian itu, namun bersyukur kerana semua ahli keluarganya termasuk dua pembantu rumah berusia 23 dan 30 tahun selamat.

“Kejadian rompakan ini yang kedua kami alami selepas kejadian pertama kira-kira lima tahun lalu. Walaupun sudah meningkatkan tahap keselamatan, malang tidak berbau.

“Apapun, saya berterima kasih kepada polis kerana bertindak segera sebaik menerima aduan saya. Hasil kecekapan polis juga penjenayah terbabit ditembak mati,” katanya yang terpaksa membatalkan kehadiran untuk merasmikan program Bicara Eksekutif Budaya 2010 di Auditorium Taman Budaya di sini, jam 8.30 pagi semalam.

myMetro
6 Jul 2010


Perompak tersilap sasaran

KUANTAN – Hajat lima anggota penjahat Geng Tong Gas untuk mendapat habuan besar dengan menjadikan rumah banglo milik seorang ahli politik di sini sebagai sasaran untuk dirompak tidak berbaloi apabila empat daripada mereka ditembak mati semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, lima penjahat warga Indonesia itu hanya sempat berada kira-kira 10 minit di dalam rumah banglo dua tingkat milik Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat (gambar) yang terletak di Taman Pantai Selamat, Jalan Teluk Sisek di sini.

Seperti beberapa kes jenayah membabitkan kumpulan itu yang menggunakan tong gas untuk memecah masuk bilik tidur di rumah mangsa-mangsanya, kali ini penjenayah itu juga cuba memecah masuk bilik tidur bapa mentua kepada Wan Adnan iaitu Datuk Ahmad Baharuddin Mohd. Akil, 81, menggunakan tong gas.

Namun tindakan penjenayah itu terbantut kerana mereka terpaksa melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.

Semasa kejadian Wan Adnan bersama sembilan ahli keluarga dan dua pembantu rumah wanita berada di tingkat atas rumah banglo dua tingkat itu sebelum dia menyedari ada penjenayah menceroboh rumahnya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata, Wan Adnan menyedari penjenayah itu cuba memecah masuk rumahnya dengan mengumpil pintu di bahagian tepi rumah menggunakan sebatang besi pengumpil tayar.

“Wan Adnan terus menghubungi polis sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, menyedari kehadiran polis, lima penyamun bersenjatakan sebilah parang, sebilah pisau pemotong daging dan satu alat pemotong besi cuba melarikan diri.

“Ketika penjenayah itu cuba meninggalkan rumah itu mereka telah mencabar pasukan polis sehingga menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.

“Akibat tembakan itu, empat suspek yang berumur antara 30 hingga 40 tahun mati di tempat kejadian manakala seorang lagi yang cedera parah sempat melarikan diri,” kata Robiah.

Suspek yang memakai baju merah itu dapat menghilangkan diri ke arah semak berhampiran longkang besar tidak jauh dari rumah tersebut.

Kosmo Online
6 Jul 2010


Serang polis dengan parang

KUANTAN: Lima perompak yang memecah masuk rumah Exco kerajaan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat disifatkan ganas dan ‘hati kering’ kerana tidak menghiraukan amaran menyerah diri, sebaliknya cuba menyerang polis dengan parang, menyebabkan polis melepaskan tembakan yang akhirnya meragut nyawa empat daripada mereka.

Ketua Polis Negeri, Datuk Robiah Abdul Ghani berkata, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan daripada Wan Adnan mengenai kehadiran penjenayah di rumahnya pada jam 3 pagi.

“Siasatan mendapati lima suspek terbabit memecah masuk ke dalam rumah mangsa selepas mengumpil pintu tepi rumah mangsa. Sebaik menyedari rumahnya diceroboh masuk, Wan Adnan menghubungi polis yang menghantar sepasukan anggota ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, anggota polis terserempak dengan lima lelaki dalam mencurigakan keluar dari perkarangan rumah mangsa dan melarikan diri melalui sungai berhampiran kediaman itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff.

Menurutnya, polis meminta kumpulan lelaki terbabit menyerah diri tetapi mereka bertindak menyerang dan menerpa ke arah polis dengan parang menyebabkan polis melepaskan tembakan.

“Akibat tembakan itu, empat penjenayah terbabit mati di tempat kejadian berhampiran rumah mangsa, manakala seorang lagi cedera terkena tembakan dapat memboloskan diri.

“Identiti keempat-empat suspek belum dikenal pasti, tetapi mereka dipercayai warga asing berusia 30 hingga 40-an. Mayat mereka dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, Wan Adnan dan ahli keluarganya serta dua pembantu rumah mereka tidak cedera manakala jumlah kerugian dialami sedang disiasat.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah parang, alat pemotong besi, pisau pemotong daging dan besi pencungkil tayar serta sejumlah wang tunai.

“Malah, polis turut menemui tong gas memasak yang dipercayai digunakan kumpulan perompak terbabit untuk memecah pintu bilik di rumah mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis dapat bertindak pantas menangani kejadian terbabit kerana anggotanya sentiasa menjalankan rondaan di sekitar kawasan perumahan berkenaan berikutan beberapa siri rompakan di sekitar bandar itu sebelum ini.

“Bagaimanapun, kami masih menyiasat kaitan suspek kes ini dengan jenayah lain dan sama ada mereka juga serpihan daripada Geng Tong Gas yang berjaya ditumpaskan kira-kira dua bulan lalu.

“Polis giat menjalankan operasi menjejak seorang lagi suspek yang masih bebas dengan memeriksa kawasan sekitar tempat kejadian dan sekatan jalan,” katanya.

myMetro
6 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment