July 5, 2010

Lelaki lompat ke parkir dari tingkat 4 maut

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang lelaki beraksi ala ‘Spiderman’ dengan melompat dari beranda tingkat empat sebuah pusat beli-belah ke tempat letak kereta bersebelahan membawa padah selepas terjatuh dan maut di tempat kejadian.

Kejadian disedari pegawai keselamatan pusat beli-belah terbabit selepas terdengar bunyi aneh sebelum melihat mangsa tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di tempat letak kenderaan bangunan itu.

Kejadian di Plaza Sentosa di sini, berlaku kira-kira jam 12.35 tengah malam kelmarin itu, kemudiannya dimaklumkan kepada sepasukan anggota polis yang kebetulan menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan dalam bangunan sama.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, mangsa berusia 36 tahun itu dipercayai melompat dari beranda bangunan ke tempat letak kereta di tingkat empat.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), berikutan siasatan dijalankan mendapati tidak wujud sebarang unsur jenayah untuk dikaitkan dengan kejadian meragut nyawa lelaki berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun sesiapa yang mempunyai maklumat kejadian sebenar boleh menghubungi polis berhampiran atau hotline polis Johor di 07-2212999.

myMetro
5 Jul 2010

0 comments:

Post a Comment