May 6, 2016

Selepas suami, anak pula disahkan sakit jantung

Eng Kian memangku Nur Farisya Umairah sambil diperhatikan Saidah (kanan).

SEREMBAN - Belum pun reda dengan dugaan suami menghidap sakit jantung, seorang wanita sekali lagi menerima ketentuan sama.

Kali ini, anak bongsunya yang berusia empat bulan pula disahkan menghidap sakit jantung.

Saidah Banu Selvi Abdullah, 34, berkata, anak perempuannya, Nur Farisya Umairah Abdul Mutalib disahkan menghidap sakit jantung berlubang yang baru diketahui kira-kira dua bulan lalu.

Menurutnya, kehidupannya sekeluarga kini dihimpit kesusahan kerana bukan sahaja perlu menanggung kos perubatan suami tetapi juga anaknya yang perlu berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

“Suami saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sehari RM30.

“Dia tak boleh kerja kuat kerana keadaan kesihatan yang kurang menentu dan saya pula sudah berhenti kerja selepas mengetahui Nur Farisya sakit jantung,” katanya.

Saidah berkata, dia mempunyai dua lagi anak, seorang berusia 17 tahun yang merupakan OKU kategori hiperaktif, manakala seorang lagi anak perempuan berusia 15 tahun.

Malah, katanya,  ibunya berusia 62 tahun juga tinggal bersamanya, sementara ayahnya sudah enam bulan berada di wad Hospital Kuala Lumpur kerana menghidap kanser usus.

“Kehidupan kami agak susah sekarang dan saya amat memerlukan bantuan terutama kos membeli susu khas untuk Nur Farisya iaitu RM47 seminggu.

“Sekarang ini pula saya dan suami perlu memikirkan kos pengangkutan awam untuk berulang alik ke IJN kerana kami hanya ada motosikal,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada Ahli Majlis Perbandaran Seremban, Teo Eng Kian dan Persatuan Belia Dinamik Barat di rumahnya di Taman Sri Rasah, di sini.

Berikutan itu, Saidah amat berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat memproses permohonan bantuannya tahun lalu dengan segera, sekali gus dapat membantu meringankan beban ditanggung.

Wartawan Sinar Harian
5 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment