May 6, 2016

Pesara mohon bantuan kaki palsu


Mahamad Zaini menunjukkan gambar ketika dia diselamatkan rakannya selepas terkena jerangkap samar ketika melakukan penugasan pembersihan jalan di kem Flower Garder, Kedah pada tahun 1987.

Iskandar Othman

MACHANG BUBOK - Seorang pesara tentera merayu agar permohonannya mendapatkan bantuan kaki palsu baharu daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi perhatian segera.

Mahamad Zaini Ahmad, 60, berkata, dia telah membuat permohonan sejak tahun lalu namun sehingga kini tiada maklum balas positif.

Menurutnya, kaki palsu  digunakan sekarang mengalami kerosakan dan menyukarkan dia untuk melakukan kerja harian.

“Kaki kanan saya terpaksa dipotong selepas terpijak jerangkap samar ketika melakukan penugasan pembersihan jalan di kem Flower Garder, Kedah pada 1987 semasa berkhidmat dalam ATM.

“Namun apa yang berlaku ketika itu tidak mematahkan semangat saya terus berkhidmat untuk negara.

"Selepas berpencen saya sudah tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menggantikan kaki palsu yang telah rosak dan amat mengharapkan bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Vateran ATM," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Mahamad Zaini yang kini berniaga nenas di hadapan rumahnya berharap kebajikan bekas perwira di negara ini terus diberi keutamaan dan dikenang kerana mereka pernah berkorban untuk mempertahankan negara sebelum ini.

Sinar Harian
5 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment