May 6, 2016

Maut dengan tangan bergari, elak ditahan

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

GEORGETOWN - Seorang lelaki maut selepas terjun dalam keadaan tangan bergari ketika polis sedang melakukan pemeriksaan di sebuah pangsapuri di Batu Lanchang, Jelutong malam kelmarin.

Menurut sumber, lelaki berusia 69 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.40 malam berhampiran tempat letak motosikal di bawah Blok 104, Mewah Court, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lin, Jelutong, dekat sini.

Hasil pemeriksaan fizikal ke atas lelaki berkenaan, polis berjaya merampas 10.8 gram dadah dipercayai syabu yang dijumpai dalam beg galasnya.

Sumber berkata, susulan daripada tangkapan itu, lelaki berkenaan yang digari membawa polis ke pangsapuri berkenaan untuk pemeriksaan seterusnya.

Ketika polis membuat pemeriksaan di pangsapuri berkenaan, didapati seorang wanita warga Thailand berusia 30 tahun berada di dalam bilik pertama dan dia turut ditahan.

Bersaksikan kedua-dua suspek, polis menggeledah rumah yang terletak di tingkat 15 itu dan menjumpai dadah jenis syabu seberat 144.9 gram, ketamin 99.3 gram, heroin 14.8 gram dan 55 biji pil Eramin 5 dan serbuk WY seberat 91 gram.

Kesemua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM18,950.

Walau bagaimanapun, ketika polis sedang menyiasat suspek wanita, suspek lelaki dalam keadaan tangan bergari berkenaan telah terjun melalui tingkap yang tidak berjeriji dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ujian saringan air kencing suspek wanita mendapati positif dadah jenis Amphethamine.

Sementara itu, Ketua Polis negeri , Datuk Abdul Ghafar Rajab mengesahkan kejadian terbabit ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian 6 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment