May 13, 2016

Sambaran api ubat nyamuk

PELAJAR tahfiz mencari al-Quran yang masih elok selepas asrama musnah dijilat api.

Butterworth: Keterujaan murid sekolah tahfiz di sini setiap kali menjelang solat Subuh bertukar sepi semalam, apabila bangunan dua tingkat yang menempatkan sekolah dan asrama mereka musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.

Sebahagian murid berusia 11 hingga 16 tahun dilihat terduduk kaku menyaksikan bangunan menempatkan asrama dan kelas mereka di Madrasah Tahfiz Al-Quran Raudhatul Ulum, Bagan Belat, hangus dalam kejadian jam 1 pagi itu.

Namun, tiada kecederaan dilaporkan selepas lima murid dan seorang guru mereka yang sedang tidur sempat menyelamatkan diri daripada kebakaran yang berpunca daripada bara ubat nyamuk yang menyambar kain selimut salah seorang daripada mereka.

Suasana hiba jelas kelihatan pada wajah pemilik pusat tahfiz, Abdullah Ahmad, 71, dan isterinya Dasima Osman, 72, ketika menceritakan kejadian kepada wartawan yang menemu bualnya sejurus kejadian.

“Kejadian berpunca daripada bara yang menyambar kain selimut salah seorang pelajar di situ, dan kami bernasib baik selepas ada di antara mereka yang menyedari kejadian ketika bangun minum air.

Sebelum kejadian, lima pelajar tahfiz sedang tidur di tingkat atas yang dijadikan asrama, manakala saya dan isteri tidur di tingkat bawah.

Kejadian disedari seorang daripada pelajar terbabit yang bangun untuk minum air sebelum ternampak kain selimut di tempat tidur mereka disambar api.

Seorang pelajar (Nazhan Azim, 11), terus mengejutkan saya dan empat lagi rakannya yang sedang tidur bagi menyelamatkan diri.

Kami kelam kabut kerana asap tebal dan tak fikir apa dah. Kami turun dan keluar menyelamatkan diri tanpa sempat mengambil barang.

Di madrasah ini, kami mempunyai 11 pelajar berusia antara 11 hingga 16 tahun, namun ketika kejadian hanya lima pelajar tidur di asrama, manakala enam pelajar lagi pulang ke rumah masing-masing.”

myMetro 12 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment