May 11, 2016

OKU jadi mekanik gadjet terkenal

Mohd Zulkifli membaiki komputer pelanggannya dalam keadaan berbaring sambil diperhatikan ibu, ayah dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang, Sheikh Razali Sheikh Hamad (kiri).

GUA MUSANG - Sungguhpun tidak mampu berjalan serta menguruskan diri, namun seorang pemuda di Kampung Tiong dikurniakan kepakaran istimewa yang dimanfaatkannya sehingga dikenali sebagai mekanik gadjet sejak 10 tahun lalu.

Dalam keadaan terbaring Mohd Zulkifli Mohd Zain, 35, tidak jemu-jemu melayan kunjungan pelanggan yang silih berganti ke rumahnya untuk membaiki peralatan elektronik seperti telefon, komputer riba dan sebagainya.

Menurut Mohd Zulkifli, minatnya dalam bidang elektronik bercambah sejak berusia 13 tahun dan dia mula mempelajari kaedah membaiki komponen elektronik melalui pembacaan dan melayari internet.

"Saya diserang demam panas pada usia 10 tahun sehingga menyebabkan saya lumpuh. Apabila memikirkan kesukaran untuk meneruskan pelajaran, saya minta ibu beli buku panduan membaiki peralatan elektronik.

"Saya belajar sendiri secara berperingkat sehingga mahir. Kalau nak diikutkan, saya juga boleh baiki peralatan elektrik tapi pergerakan saya terbatas dan kerana itu saya fokus kepada baik pulih telefon bimbit dan komputer," katanya.

Mohd Zulkifli berkata, selain pelanggan perseorangan yang datang terus ke rumah, terdapat juga pemilik kedai membaiki telefon bimbit di bandar yang mendapatkan perkhidmatannya.

Katanya, kebiasaannya pemilik kedai berkenaan akan datang ke rumahnya untuk menghantar beberapa telefon untuk dibaiki dan dia akan memeriksa serta menempah sendiri komponen diperlukan daripada pembekal di Kuala Lumpur melalui perkhidmatan dalam talian.

"Harga bergantung kepada tahap atau jenis kerosakan dan kos mendapatkan komponen gantian yang kebiasaannya RM20 ke atas," katanya.

Sementara itu, bapanya, Mohd Zain Deraman menceritakan rumah mereka pernah dikunjungi anggota polis kerana dikerumuni anak-anak muda hampir sepanjang masa, mungkin kerana syak keluarganya ada melakukan perkara menyalahi undang-undang.

"Malahan saya sendiri pernah diminta menjalani ujian air kencing, namun saya suruh pihak berkuasa lihat sendiri aktiviti abang (Mohd Zulkifli)...barulah mereka beredar," katanya.

Manakal ibunya, Wan Siti Esah Ghazali bangga dengan kelebihan dimiliki anaknya itu sungguhpun tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU) kerana dia mampu menjana pendapatan sendiri serta membantu perbelanjaan keluarga.

Sinar Harian 1 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment