May 11, 2016

Peserta renang lemas dalam pertandingan

Port Dickson: Seorang peserta sukan renang Open Water Swimming (OWS) Challenge Series 2016, mati lemas ketika menyertai pertandingan yang diadakan di Pantai Bagan Pinang, di sini, pagi kelmarin.

Hue Li Onn, 50, disahkan meninggal dunia di Hospital Port Dickson (HPD) jam 10.45 pagi, ketika menerima rawatan.

Difahamkan, pertandingan renang anjuran syarikat swasta itu pertama kali diadakan di negeri ini dan disertai 95 perenang daripada dalam dan luar negara.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan rekod, mangsa yang menetap di Mont Kiara, Kuala Lumpur, mendaftar menyertai pertandingan itu jam 7.30 pagi.

“Pada jam 8.38 pagi, semua peserta dilepaskan dan ketika berada pada jarak 1.5 kilometer, mangsa secara tiba-tiba menjerit meminta tolong. Sebuah bot dan kayak penyelamat yang berada di tempat kejadian segera memberikan pertolongan.

“Mangsa diangkat naik dan diberikan bantuan pernafasan. Mangsa dibawa ke HPD menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat lemas selain mempunyai sejarah serangan jantung sebelum ini.

Adzli berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, wakil Swimon Enterprise iaitu syarikat penganjur pertandingan yang mahu dikenali Amir berkata, pihaknya memastikan semua aspek keselamatan peserta diberi keutamaan sepanjang pertandingan itu.

Menurutnya, kejadian itu menyedihkan kerana dia mengenali secara peribadi Hue yang disifatkan sebagai seorang perenang yang bagus dan sering menyertai acara itu di seluruh negara.

“Saya tidak boleh komen lebih lanjut berhubung kejadian itu kerana menghormati keluarganya,” katanya ketika dihubungi.

myMetro 10 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment