May 28, 2016

Minyak tumpah, 12 penunggang motosikal 'tergolek'

Anggota bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi tumpahan minyak di Kampung Seri Andalas di sini, hari ini.

PUCHONG - Seramai 12 penunggang motosikal termasuk jemaah yang dalam perjalanan ke sebuah masjid  'tergolek' akibat tergelincir dalam kejadian tumpahan minyak di Jalan Seri Andalas, di Kampung Seri Andalas di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu dikatakan berpunca daripada limpahan minyak yang mengalir dari sebuah tong sampah bocor terletak di bahu jalan.

Ia menyebabkan laluan sepanjang hampir 100 meter berkenaan dipenuhi minyak.

Menurut petugas Skuad Pantas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat terpaksa dihubungi bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

"Ketika kejadian dilapor pagi tadi (semalam) penduduk beritahu ada beberapa penunggang motosikal sudah terjatuh,"katanya.

Sinar Harian difahamkan tiada kecederaan serius dilapor berlaku namun beberapa mangsa mengalami luka kecil.

Penduduk, Jamanhuri Bidin,57, berkata kejadian disedarinya selepas melihat beberapa orang penunggang terjatuh di permukaan jalan berdekatan gerai diusahakannya.

Katanya, dia terus mengambil kon kecemasan dan menutup jalan tersebut bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

"Kejadian berpunca dari lelehan minyak dari tong sampah bocor di tepi jalan.Tak tahulah siapa yang buang minyak dalam tong itu hingga ia mengalir ke permukaan jalan.

"Masa saya sedar tu..dah enam orang jatuh...sebelum tu tak tahulah berapa ramai yang dah jadi mangsa,"katanya.

Kerja-kerja pembersihan semalam dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang berakhir kira-kira jam 12.45 tengahari.

Wartawan Sinar Harian
28 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment