May 27, 2016

Polis siasat dakwaan VIP cederakan pemandu

PETIKAN video yang dimuat naik ke laman sosial. FOTO Facebook

Ahmad Saufi Mansor dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

Alor Setar: Dua lelaki bersama orang kenamaan didakwa terbabit dalam pergaduhan hingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang pemandu kereta dan teman wanitanya.

Kejadian berlaku 5.45 petang pada 15 Mei lalu kini menjadi viral apabila mangsa berusia 20-an memuat naik status berkenaan bersama video berdurasi 34 saat di laman sosial Facebook miliknya sejak awal pagi ini dengan mendapat lebih 200,000 tontonan dan dikongsi kira-kira 7,000 pelayar, ketika ini.

Mangsa menerusi laman sosial Facebooknya, berkata dia yang memandu keluar dari Aman Central terus memasuki lorong tengah menuju ke persimpangan lampu isyarat di hadapan kompleks beli-belah berkenaan.

Menurutnya, tiba-tiba pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki dua lelaki berusia 20-an dan seorang orang kenamaan (VIP) berusia 50-an membunyikan hon panjang.

"Pemandu SUV itu membuat hon panjang dan berada di sebelah kiri kereta saya ketika lampu isyarat berwarna merah. Dia kemudian menurunkan tingkap kenderaan dan berkata 'Kenapa, kenapa... Hang tak kenal lagi aku siapa' berulang kali dan meminta saya turun dari kenderaan, tetapi saya enggan.

"Tiba-tiba lelaki berusia 50-an berkenaan turun lalu membuka pintu dan menarik kunci kereta serta menumbuk mulut saya menyebabkan luka sebelum menarik saya keluar, tetapi saya turut menumbuknya sebaik keluar dari kereta," katanya.

Dakwanya, ketiga-tiga lelaki berkenaan terus memukulnya, malah teman wanita juga ditumbuk pada dada, tangan kanan dan kiri ketika cuba meleraikan pergaduhan.

"Orang ramai yang kebetulan melalui jalan berkenaan bertindak meleraikan pergaduhan, sebelum tiga lelaki terbabit meninggalkan lokasi kejadian.

"Saya kemudian membawa teman wanita ke sebuah pusat perubatan swasta, di sini, kerana mengalami sesak nafas yang sangat teruk," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian, berkata pihaknya masih melakukan siasatan untuk mengenal pasti identiti individu yang didakwa lelaki berkenaan.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan sudah dibuka pada tarikh kejadian," katanya.

Dalam pada itu, orang kenamaan berkenaan gagal dihubungi bagi mendapatkan maklum balas.

myMetro 27 Mei 2016


‘Saya yang sebenarnya ditumbuk...’

MUHAMAMAD AMMAR MUBASSYIR ABD HADI

(kiri) Petikan video yang menunjukkan insiden tersebut kini viral di laman sosial. Laporan polis yang dibuat seorang lelaki yang mendakwa dirinya dipukul Azmi. Gambar kecil: Azmi

BALING - “Saya cuba leraikan keadaan, tetapi saya pula yang dituduh,” demikian luahan Timbalan Speaker Dun Kedah, Datuk Azmi Che Husain yang didakwa memukul seorang pemuda dalam satu insiden pergaduhan di hadapan Aman Central pada 15 Mei lalu, kira-kira jam 5.45 petang.

Semalam, satu rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan pergelutan seorang lelaki bersama tiga individu lain dengan salah seorangnya ialah Azmi tersebar luas di media sosial.

Sambil menjelaskan perkara sebenar, Azmi berkata, sebelum kejadian itu berlaku, pemuda yang mendakwa dipukul itu menunjukkan isyarat tidak elok kepada anaknya yang sedang memandu.

Menurutnya, dia yang seolah-olah melakukan provokasi itu kemudiannya bertindak memaki hamun anaknya.

“Saya ketika itu dalam kereta dengan dua lagi anak lelaki. Bila kejadian macam tu berlaku, saya turun kereta dan tanya kenapa dia buat begitu kepada anak saya.

“Namun bila disoal, dia bertindak memaki hamun saya. Salam yang diberi sebelum itu pun tidak dijawabnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Adun Bayu berkata, lelaki itu kemudian bertindak lebih agresif apabila keluar dari kereta dan menendangnya sehingga terjatuh.

“Dua anak yang ketika itu berada dalam kereta keluar untuk mempertahankan saya dari terus dipukul. Siapa yang sanggup tengok ayah mereka dipukul depan mata.

“Jadi berlaku pergelutan antara mereka bertiga, saya yang berada di situ cuba meleraikan pergaduhan, tetapi saya ditumbuk oleh lelaki itu,” katanya.

Katanya lagi, lelaki berkenaan juga dilihat cuba memutar belitkan kejadian sebenar apabila menuduh beliau dan anak-anaknya menumbuk teman wanitanya di bahagian dada, tangan kanan dan kiri.

Menurutnya, perkara itu langsung tidak berlaku seperti didakwa, sebaliknya wanita itu mengalami kecederaan apabila ditolak masuk ke dalam kereta oleh pemuda tersebut.

“Saya dan anak-anak langsung tidak sentuh wanita itu, tetapi bila dia keluar dari kereta untuk leraikan pergelutan, dia pula yang ditarik dan ditolak masuk ke dalam kereta oleh lelaki berkenaan.

“Jika ada pihak yang masih ragu-ragu dengan tuduhan ini, sila berikan bukti segera bahawa wanita itu benar-benar ditumbuk,” katanya.

Azmi mendakwa, insiden salah faham yang diviralkan itu adalah  hasil agenda dan perancangan pihak tertentu bagi mencalarkan imej politiknya.

Tanpa ingin mendedahkan siapa pelakunya, beliau mengakui mengenali individu yang cuba memburuk-burukkan imejnya dengan merancang insiden berkenaan.

“Kejadian itu berlaku siap dengan rakaman dari kamera, seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“ALLAH akan bersama orang yang benar, saya yakin dengan janji-NYA,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

“Saya juga akan membuat laporan polis selepas difitnah, sebelum ini kes ini tidak dilaporkan kerana saya hanya meleraikan keadaan,” katanya.

Dalam pada itu di ALOR SETAR, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pengadu membuat laporan polis pada hari kejadian dan tidak mengenali Adun itu sehingga kes tersebut menjadi viral dalam laman sosial.

Mohd Rozi berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian 28 Mei 2016





0 comments:

Post a Comment