May 25, 2016

Maut ditimpa papan iklan

MANGSA maut ditimpa papan iklan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan

Melaka: Seorang pengawal keselamatan maut ditimpa papan iklan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Tangga Batu, di sini, selepas tamat tugasan.

Difahamkan dalam kejadian 7.15 pagi itu, mangsa Ahmad Yusop Omar, 64, menunggang motosikal sendirian dari arah Limbongan menghala Dataran 1Malaysia, Klebang, di sini sebelum berhenti di persimpangan lampu isyarat Klebang Kecil, di sini.

Difahamkan papan iklan di tepi jalan terbabit tiba-tiba tumbang dan menghempap mangsa, menyebabkan mangsa meninggal dunia serta merta meskipun tiada angin ketika kejadian namun dalam keadaan hujan.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

myMetro 24 Mei 2016


Lelaki maut dihempap papan iklan

Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Limbongan, Klebang Kecil.

SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN

BANDARAYA MELAKA - Seorang pengawal keselamatan yang baru selesai bertugas tidak sempat pulang ke rumah apabila dia maut dihempap papan iklan di persimpangan lampu isyarat Limbongan/ Pokok Mangga, Klebang Kecil, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi, Ahmad Yusop Omar, 64, maut di tempat kejadian ketika  menunggang motosikal dari arah Limbongan sebelum dihempap papan tanda.

Difahamkan, ketika kejadian Ahmad Yusop menunggang sendirian dalam perjalanan pulang ke rumah di taman  tangga Batu dan dihempap papan iklan di hadapan kawasan perkuburan  Islam yang tercabut ketika hujan.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital melaka untuk bedah siasat.

Sinar Harian 24 Mei 2016


Warga emas maut dihempap papan iklan

Pengawal keselamatan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Facebook Firas Izz Ziyad

MELAKA 24 Mei - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditungganginya dihempap papan iklan ketika hujan lebat dan angin kencang di Jalan Klebang berhampiran persimpangan ke Pokok Mangga di sini pagi ini.

Dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu, Ahmad Yusop Omar, 64, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketika kejadian, mangsa yang beralamat di Taman Tangga Batu, Tanjung Keling di sini menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Limbongan menghala ke Dataran 1Malaysia Klebang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, sebuah papan iklan di kiri jalan tiba-tiba jatuh dan menghempap mangsa yang ketika itu berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Ketika kejadian hujan lebat dan angin kencang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Shaikh Abdul Adzis, kemalangan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan lain dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE

Utusan 24 Mei 2016


Sedia beri khidmat guaman

Simen tercabut bersama tiang papan iklan sebesar 2.4x3.6 meter menyebabkan Ahmad Yusop maut dihempap papan berkenaan, Selasa lalu.

BANDARAYA MELAKA - Kerajaan negeri diminta bertanggungjawab sepenuhnya termasuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa yang maut dihempap papan iklan di persimpangan lampu isyarat Limbongan/Pokok Mangga, di sini, Selasa lalu.

Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew berkata, kejadian menimpa Allahyarham Ahmad Yusop Omar, 64, disebabkan kecuaian dan boleh dielak sekiranya papan berkenaan dipasang mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Kita harap perkara ini disiasat secara telus dan terbuka kerana saya yakin seluruh rakyat Malaysia terutamanya di Melaka ingin tahu punca sebenar kejadian, selain mahu kerajaan negeri segera bertanggungjawab termasuk bayar ganti rugi atau beri pampasan kepada keluarga mangsa.

"Kita juga sedia memberikan perkhidmatan guaman sekiranya waris mangsa mahu membawa perkara ini ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang media di pejabat DAP negeri di Lorong Pandang, di sini.

Wartawan Sinar Harian
28 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment