May 25, 2016

Penuntut politeknik maut motosikal bertembung kereta

Nur Shahfizul Azim maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Bentong-Raub semalam.

BENTONG - Seorang penuntut Politeknik Port Dickson maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 18 Jalan Bentong-Raub berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lurah Bilut, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian pada jam 7.55 pagi itu, Nur Shahfizul Azim Mohd Yamikazam, 21, yang berasal dari Beserah, Kuantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, pemandu kereta jenis Proton Saga bersama penumpangnya dari arah Cameron Highlands menuju Bentong atas urusan rasmi.

“Pada jarak 100 meter sebelum sampai di tempat kejadian, pemandu dan penumpang Proton Saga terbabit menyedari penunggang motosikal Yamaha jenis 135LC yang datang dari arah bertentangan seperti hilang kawalan dan masuk ke laluan mereka.

“Sampai di tempat kejadian, pemandu kereta cuba mengelak namun gagal, lalu bertembung dengan motosikal tersebut. Pertembungan itu mengakibatkan Proton Saga terbabit terbabas ke dalam semak,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan dalaman manakala penumpangnya tidak cedera.

Menurutnya, mayat Nur Shahfizul Azim dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wartawan Sinar Harian
24 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment