May 13, 2016

Malang kucing lalu

Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang bayi berusia 10 bulan dan ibunya nyaris maut apabila tercampak di atas jalan selepas motosikal ditunggang mereka terbabas serta terbalik ketika cuba mengelak seekor kucing di Kampung Tok Fakir, Marang, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Siti Fairus Zulkifli, 23, dan anak bongsunya, Nur Syazliyana Sirajudin bernasib baik kerana cepat diselamatkan penduduk kampung yang melihat mereka terlantar di jalan raya selepas kemalangan.

Wanita berkenaan yang mengalami gegaran kepala tidak sedarkan diri manakala bayi berkenaan cedera di muka selepas tersembam di atas jalan.

Suami Siti Fairus, Sirajudin Harun, 39, berkata, isteri dan anak bongsu terjatuh di atas jalan di laluan yang sibuk tetapi bernasib baik kerana penduduk kampung dapat mengangkat mereka ke tempat lebih selamat sejurus kejadian bagi mengelaknya daripada digilis kenderaan lain.

Menurutnya, isterinya sebelum kejadian itu menunggang motosikal bersama anak bongsu dalam perjalanan membeli barang keperluan harian di gerai yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

“Malangnya selepas hampir sampai di gerai menjual ikan di kawasan terbabit, isteri saya hilang kawalan selepas kucing dikatakan melintas jalan.

“Kedua-duanya tercampak di atas jalan dan isteri tidak sedarkan diri dipercayai selepas kepalanya terhentak di jalan raya.

“Saya berterima kasih banyak-banyak kepada penduduk kampung yang segera mengalihkan anak dan isteri yang terbaring atas jalan ketika itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Tukang rumah itu berkata, dia ke Klinik Kesihatan Marang selepas ahli keluarga memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa isteri dan anaknya itu.

Menurutnya, isterinya dan anaknya kemudian dirujuk ke HSNZ untuk menerima rawatan lanjut.

myMetro 13 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment