May 6, 2016

Ibu mohon doa anak lawan kuman

NUR Batrisya dijangkiti bakteria GNR.

Kuala Lumpur: Luluh hati seorang ibu apabila melihat anak yang dilahirkan pramatang kini terpaksa bertarung nyawa selepas disahkan menghidap jangkitan bakteria dalam darah yang merebak ke selaput otak sejak lima hari lalu.

Itu dugaan ditanggung Nik Nurul Natasya Nadia Mohd Nasir, 29, selepas doktor mengesahkan Nur Batrisya Qalesya yang baru berusia 48 hari, dijangkiti bakteria ‘Gram Negative Rod’ (GNR) pada 28 April lalu.

Menceritakan pengalaman pahitnya, Nik Nurul Natasya Nadia atau lebih mesra dipanggil Natasya berkata, anak ketiganya itu dilahirkan pramatang, iaitu 30 minggu tiga hari di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 16 Mac lalu.

“Nur Batrisya lahir melalui pembedahan, tetapi walaupun tidak cukup bulan, doktor memberitahu kesihatannya baik kecuali berat badannya yang kecil, iaitu 1.45 kilogram (kg) menyebabkan dia terpaksa ditahan di wad.

“Selepas 43 hari di hospital, doktor membenarkan dia keluar pada jam 3 petang 28 April lalu selepas mendapati berat badannya mencapai 1.84 kg,” katanya ketika ditemui di HKL di sini semalam.

Menurut Natasya, kegembiraannya itu bagaimanapun hanya seketika apabila Nur Batrisya semakin lemah dan tidak mahu menyusu sebaik tiba di rumah mereka di Subang Jaya pada jam 4.30 petang.

Keadaan anaknya itu semakin tidak bermaya menyebabkan dia dan suami Dzulkeflie Abu Bakar, 36, terpaksa merujuk ke sebuah hospital swasta.

“Bagaimanapun ketika itu, keadaan Nur Batrisya semakin kritikal menyebabkan doktor terpaksa memindahkannya ke HKL.

“Hari ini (semalam) doktor memberitahu bakteria GNR yang pada awalnya dipercayai berpunca dari bawaan udara yang menjangkiti Nur Batrisya mungkin disebabkan bakteria lain dikenali ‘streptococcus gallolyticus’ bawaan saya,” katanya.

Menurutnya, ketika itu, dia sudah tidak mampu lagi mengalirkan air mata mengenangkan nasib anak yang terlalu kecil.

“Saya tidak meminta wang ringgit, tetapi cukuplah doa masyarakat supaya Nur Batrisya diberi kekuatan untuk melawan penyakit,” katanya menahan sebak.

myMetro 4 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment