May 6, 2016

Dugaan bayi 4 penyakit


Segamat: Sejak dilahirkan, Nur Aafiyah Amanda Norhisham tidak pernah merasai tinggal lama di rumahnya di Taman Suria, Buloh Kasap kerana bergantung dengan mesin pernafasan dan penjagaan rapi doktor.

Ini kerana bayi berusia tujuh bulan itu disahkan lemah jantung, jantung berlubang, saluran usus sempit dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Malah, bayi malang itu terpaksa diberikan viagra bagi memastikan jantungnya terus berdegup di samping pemeriksaan berkala yang dilakukan di hospital.

Anak bongsu daripada enam beradik kepada pasangan Norhisham Othman, 45, dan isteri, Raja Karipah Raja Hamzah, 46, itu turut bergantung dengan bantuan mesin pernafasan sepanjang masa dengan bekalan elektrik ke rumahnya mesti dijamin tidak berlaku sebarang gangguan bagi mengelak nyawanya dalam bahaya.

Norhisham berkata, sejak dilahirkan, Nur Aafiyah dirawat di wad rawatan rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru selama empat bulan sebelum dipindahkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) selama 30 hari.

Menurutnya, sejurus Nur Aafiyah dibawa pulang ke rumah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah melakukan pemeriksaan ke atas sistem pendawaian elektrik di kediamannya bagi memastikan semuanya dalam keadaan baik serta bebas daripada penyebab gangguan bekalan.

“Sepanjang berada di hospital, Nur Aafiyah tidak menerima ramai pelawat kerana ia tidak digalakkan oleh doktor bagi memastikan kesihatannya tidak terganggu, malah orang lain tidak dibenarkan menciumnya kerana dibimbangi terdedah dengan jangkitan kuman.

“Di rumah, saya menyediakan bilik yang khusus untuk Nur Aafiyah dan peraturannya sama ketika di hospital memandangkan keadaannya boleh terdedah dengan jangkitan kuman,” katanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu.

Semalam, suami isteri itu mendapat sokongan moral UMNO Bahagian Segamat yang menyerahkan sebuah generator, alat pendingin hawa dan keperluan bayi, semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Segamat Zahari Sarip, Ketua Wanita UMNO Segamat Puspa Hairani Hassan serta Skuad Sayang Wanita UMNO bersama Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Segamat, Mustafa Moosa.

Norhisham berkata, dia memerlukan empat biji pil sildenafi atau viagra sebulan yang dibeli di farmasi untuk diberikan kepada Nur Aafiyah menggunakan saluran tiub getah sebanyak tiga kali sehari bagi memastikan jantungnya sentiasa berdegup.

Menurutnya, dia membelanjakan RM900 sebulan untuk perubatan Nur Aafiyah dan berterima kasih kepada HSA dan Hospital Segamat yang membantu ubatan percuma.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat turut meluluskan bantuan penjagaan anak kurang upaya dalam masa terdekat berjumlah RM300 setiap bulan.

myMetro 4 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment