May 6, 2016

Gading lesap bangkai terdampar di Tasik Pedu

Amir melihat bangkai gajah yang ditemui di Cherok Gid, Tasik Pedu.

Pedu: Kejam. Begitu perumpamaan sesuai digambarkan apabila melihat bangkai gajah tanpa gading dipercayai dicuri pemburu haram dalam keadaan dihurung lalat dan hanya tinggal kulit dan tulang di tepi tasik di Cherok Gid, di sini.

Bangkai haiwan itu dipercayai mati sejak lebih dua minggu lalu dan hanya disedari Isnin lalu oleh sekumpulan pemancing yang kebetulan melalui kawasan itu.

Wartawan Harian Metro turut melakukan tinjauan di lokasi penemuan bangkai gajah itu yang mengambil masa perjalanan lebih 45 minit dengan menaiki bot dari Jeti Charok Air, di sini, semalam.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, wartawan terpaksa menutup hidung akibat bau busuk bangkai gajah yang mulai reput dan tinggal tulang.

Ketika menghampirinya jelas kesan gading yang dipotong dipercayai dicuri pemburu haram.

Setiausaha Koperasi Persatuan Nelayan dan Penternak Tasik Pedu Amir Wahab, 43, yang membawa wartawan ke lokasi itu, berkata pada mulanya bangkai itu dijumpai kakitangannya yang membawa sekumpulan pemancing jam 3 petang Isnin lalu.

Menurutnya, ketika melalui kawasan itu mereka pelik melihat bangkai itu sebelum memeriksanya dan terkejut mendapati ia bangkai gajah.

“Pekerja saya pulang dan memaklumkan sebelum kami datang semula keesokan harinya.

“Ketika tiba, hati saya tersentuh dan sedih melihat khazanah negara menemui ajal dalam keadaan tragis dengan gadingnya tiada dipercayai dicuri,” katanya.

Amir yang juga pengusaha bot rumah Seri Mahawangsa berkata, tindakan terbabit mungkin dilakukan pemburu haram gading gajah yang merancang lebih awal dan mengambil kesempatan beberapa kawasan yang tiada kawalan keselamatan menyebabkan mereka mudah masuk tanpa dikesan.

“Apa yang saya tahu kawasan resort lama yang tidak beroperasi itu digunakan sesetengah pihak sebagai laluan haram kerana tiada kawalan keselamatan di situ.

“Perbuatan ini bukan dalam kalangan nelayan di sini kerana mustahil mereka bertindak sedemikian kerana ia menjejaskan punca pendapatan mereka dan disyaki dilakukan orang luar,” katanya.

Katanya, ia adalah kejadian pertama gajah ditemui mati tanpa gading dan merosakkan ekosistem Tasik Pedu sebagai lokasi pelancongan.

Jurufoto Mohd Rizal Ismail berkata, dia bersama rakan terkejut menemui bangkai gajah reput terdampar di tebing Tasik Pedu.

myMetro 4 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment