May 27, 2016

Dua remaja ditemui lemas

OPERASI bomba dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang ramai. FOTO ihsan Bomba

Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Sungai Besar: Dua remaja lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam parit di Jalan Parit 4 1/2 Sungai Panjang, Sungai Besar, petang tadi.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 14 tahun bersama seorang lagi rakannya dikatakan bermain di sekitar kawasan itu sebelum terjatuh ke dalam parit berkenaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar berkata, lapan anggota dan pegawai bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Mayat mangsa pertama dijumpai 5.50 petang manakala mangsa kedua dijumpai kira-kira tiga minit kemudian.

"Operasi menyelamat turut dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta orang ramai," katanya.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam untuk tindakan selanjutnya.

myMetro 26 Mei 2016


2 remaja ditemui mati lemas di Sungai Besar

Pasukan penyelamat mengusung salah seorang mayat mangsa lemas.

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR

SUNGAI BESAR - Kelekaan dua pelajar tingkatan 2 'berkubang' dalam parit membawa tragedi memilukan apabila mereka ditemui mati lemas di Kampung Parit 4  1/2 Jalan Sungai Panjang, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa Mohd Ridzuwan Jamhari, 14, dan rakannya, Muhammad Salman Rahmat, 14, dijumpai anggota bomba kira-kira sejam selepas itu di parit berkenaan.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.31 petang.

"Kami tiba ke lokasi kejadian pada jam 5.39 petang bersama lima anggota ke lokasi kejadian," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Sani memberitahu, pihaknya menemui mangsa pertama, Mohd Ridzuan pada jam.5.50 petang, manakala mangsa kedua ditemui tiga minit selepas itu," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mayat remaja lelaki itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

Sinar Harian 26 Mei 2016


0 comments:

Post a Comment