May 5, 2016

Dendam bawa maut

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Seremban: Angkara dendam, pemasang siling kapur maut diserang tiga lelaki bersenjatakan parang dan pisau ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Desa Temiang di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, empat lelaki dikatakan menceroboh rumah mangsa berusia 47 tahun terbabit dan tiga daripadanya menyerang mangsa manakala seorang lagi suspek yang bersenjata pistol menjaga di luar bilik.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa cuba melawan namun gagal apabila dia ditetak dan dikelar bertubi-tubi di kepala dan badan.

"Keempat-empat suspek kemudian melarikan diri sebelum orang awam membawa mangsa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat cedera ditetak di kepala, belakang badan, bahu, lengan kanan dan perut.

"Polis menerima laporan daripada isteri mangsa pada 12 tengah hari semalam sebelum siasatan dilakukan. Kita menahan dua lelaki berusia 22 tahun di Mantin, Nilai dan Cheras, Selangor, antara 12 tengah malam hingga 2 pagi tadi," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, polis turut merampas 210 pil eramin 5 seberat 57.90 gram daripada seorang suspek dan kedua-duanya ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

myMetro 2 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment