May 5, 2016

Panggilan cemas

Azahar Hashim
am@hmetro.com.my

Kulim: Seorang pengusaha ternakan itik sempat menghubungi isterinya memaklumkan dia tercedera selepas diserang dua individu yang menyamun pekerjanya di sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Karangan, semalam.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 4 pagi, mangsa berusia 55 tahun itu gagal diselamatkan apabila ditemui maut dalam keadaan terbaring berlumuran darah oleh ahli keluarganya di hadapan sebuah pondok tempat tinggal pekerja di ladang terbabit yang turut dijadikan tempat ternakan itik.

Ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, dia menerima panggilan daripada isteri mangsa yang meminta pertolongan selepas mangsa memberitahu tercedera.

Katanya, selepas menerima panggilan itu, dia bersama ahli keluarga yang lain bergegas ke tempat kejadian sebelum terkejut melihat mangsa terbaring dengan keadaan berlumuran darah.

“Sebaik kami tiba mangsa sudah tidak sedarkan diri dan apabila kakitangan ambulans memeriksanya mereka mendapati dia sudah tiada.

“Ladang ternakan itik ini baru diusahakan oleh mangsa sejak setahun lalu dengan menyewa ladang kelapa sawit milik rakannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, dua suspek berusia 20-an dipercayai menyamun empat pekerja mangsa.

Menurutnya, mangsa pula tinggal di pondok berasingan terletak 100 meter dari tempat tinggal pekerjanya dan dipercayai dia yang terdengar kekecohan itu datang untuk melihat apa yang berlaku.

“Dia terserempak dengan suspek dan berlaku pergelutan sebelum dia cedera di muka, tangan dan kaki.

“Dalam kejadian itu, seorang pekerjanya turut cedera di tangan kiri ketika disamun sebelum suspek melarikan diri,” katanya.

Abdullah berkata, pihaknya turut menemui dua bilah parang dan kesan tompokan darah di hadapan pondok itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha memburu suspek giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4906222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

myMetro 1 Mei 2016

0 comments:

Post a Comment