April 22, 2016

Teringin jumpa anak terpisah 26 tahun

Sabariah

Behrang: Seorang warga emas berharap dapat dipertemukan dengan anak perempuannya yang terpisah sejak 26 tahun lalu.

Sabariah Laman, 61, dari Bandar Behrang 2020, di sini, mahu bertemu dengan Rosnah Ahmad, 42, yang terpisah selepas dia bercerai dengan suaminya, Ahmad Janang ketika menetap di Selama.

Dia berkata, mereka dikurniakan empat anak iaitu Rosnah, 42, Rosli, 41, Sulaiman, 35, dan Saniah, 29.

Menurutnya, selepas bercerai, anaknya itu dijaga nenek mereka manakala dia berkahwin dengan seorang peneroka FELDA Sungai Behrang, Hasan Osman yang meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Sabariah berkata, dia kini tinggal bersama anaknya, Fatimah Sham Hasan, 21, dan Latifah Hasan, 22.

“Ketika berpisah dengan suami pertama, umur Rosnah 16 tahun dan masa itu, dia sering pujuk saya kembali kepada bekas suami tetapi jodoh kami sampai di situ saja.

“Bukan saya suka dengan perceraian dan saya tidak salahkan Rosnah kerana ketika itu dia belum memahami erti hidup berumahtangga lagi,” katanya, semalam.

Katanya, sejak bercerai dengan suami pertamanya, hanya adik Rosnah pernah datang berjumpanya. Sabariah berkata, dia tidak mempunyai gambar dan menyimpan maklumat mengenai anaknya itu menyebabkannya sukar berhubung dan usahanya kini ialah sering melakukan solat solat hajat.

Sabariah berkata, dia boleh dihubungi di talian 0175394175.

myMetro 22 April 2016



0 comments:

Post a Comment