April 22, 2016

Mayat bayi dihurungi lalat

MAYAT bayi bertali pusat yang ditemui di kebun kelapa sawit. FOTO ihsan pembaca

Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my

Batu Pahat: Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui dihurungi lalat di kebun kelapa sawit, di Parit Gantong Sri Merlong, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mayat bayi itu ditemui pemilik kebun itu sendiri 8.30 pagi tadi.

“Kami percaya mayat bayi itu ditinggalkan dalam tempoh empat hari selepas dilahirkan berdasarkan kesan lebam pada badannya.

"Mayat bayi terbabit juga dipercayai cuba ditanam susulan penemuan cangkul kecil berhampiran lokasi ia ditemui," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penemuan mayat bayi itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

myMetro 22 April 2016


Curiga bau busuk

BATU PAHAT – Seorang pemilik kebun terkejut apabila menemui mayat bayi yang hampir reput ketika sedang membersihkan kebun kelapa sawitnya di Kampung Parit Gantong, Rengit dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mayat bayi lelaki berusia dalam lingkungan empat hari itu ditemui oleh pemilik kebun terbabit di kawasan pondok dalam kebun itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Din Ahmad berkata, sebelum menemui mayat bayi tersebut, pemilik kebun ter­babit telah terhidu bau busuk.

“Curiga dengan bau busuk yang datang dari arah belakang pondok, dia (pemilik kebun) telah bertindak memeriksa kawasan belakang pondok.

“Apabila mengetahui punca bau busuk itu, dia telah membuka kain penutup sebelum melihat mayat bayi yang hampir reput. Pemilik kebun itu telah membe­ritahu ketua kampung yang bertindak membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 23 Apr 2016


0 comments:

Post a Comment