April 19, 2016

Lelaki maut kereta terbabas

Keadaan kereta mangsa selepas melanggar sebatang pokok kelapa sawit di tepi jalan.

PONDOK TANJUNG – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Taiping – Selama, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, T Pradaben, 36, bekerja sendiri dan berasal dari Jalan Taman Merdeka, Selama meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, mangsa memandu kereta jenis Proton Saga yang dalam perjalanan dari arah Taiping menghala ke Selama.

Menurutnya, sebaik sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke bahu kanan jalan.

“Mangsa kemudian melanggar sebatang pokok kelapa sawit yang berada di tepi jalan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.13 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Sepasukan enam anggota bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital,” katanya.

Sinar Harian 5 April 2016

0 comments:

Post a Comment