April 28, 2016

Lelaki ditemui lemas

FOTO ihsan bomba

Zatul Iffah Zolkiply

Jertih: Seorang lelaki ditemui lemas selepas bot dinaikinya berlanggar dengan sebuah bot lain dalam kejadian di Pulau Perhentian di sini, jam 11 malam tadi.

Mayat mangsa, Rawi Ibrahim, 40, ditemui pada kedalaman empat meter kira-kira jam 10.25 pagi tadi tidak jauh dari lokasi kejadian.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam tadi ketika sebuah bot dinaiki lima orang termasuk pemandu bot dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kampung Nelayan selepas makan di Long Beach.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ketika dalam perjalanan, berlaku pelanggaran bot dengan sebuah bot dinaiki seorang lelaki yang datang dari Pulau Perhentian Besar menghala ke Long Beach.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan kesemua mangsa yang berada dalam kedua-dua bot tercampak.

"Lima mangsa yang menaiki bot dari Long Beach berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan manakala lelaki yang memandu bot dari bot Pulau Perhentian Besar gagal ditemui.

"Susulan itu, gerakan mencari mangsa dijalankan sebelum mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 10.25 pagi tadi.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian, " katanya.

myMetro 28 April 2016



0 comments:

Post a Comment