April 28, 2016

Memilukan

Abang Mohammad Adam, Mohd Irwan Ibrahim, 25 bersama Mohd Ibrahim menunjukkan gambar Mohammad Adam Haikal yang meninggal dunia akibat digilis kereta dalam kemalangan di Kampung Tapang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Budak lelaki berusia enam tahun maut selepas motosikal yang dibonceng bersama bapa dan ibunya merempuh belakang kereta sebelum terjatuh dan digilis kereta lain di Kampung Tapang, di sini petang tadi.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, Mohammad Adam Haikal, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Bapanya, Mohd Ibrahim Mohd Salleh, 49, cedera di muka manakala ibunya Karimah Yusof, 43, parah di kepala.

Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk bedah siasat.

Mohd Ibrahim ketika ditemui berkata, ketika kejadian dia bersama bersama isteri dan anaknya dalam perjalanan ke pasar di Kota Bharu.

"Ketika melalui jalan itu sebuah kereta jenis Perodua Viva yang berada di hadapan secara tiba-tiba membelok ke kanan menyebabkan saya tidak dapat mengawalnya motosikal sebelum merempuh lampu belakang sebelah kanan dan terjatuh.

"Saya, isteri dan Mohammad Adam Haikal, tercampak di atas jalan sebelum saya dimaklumkan oleh orang ramai anak saya digilis kereta lain dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di HRPZ II.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 28 April 2016




0 comments:

Post a Comment