April 28, 2016

Gerai makanan ringan UiTM berapi

KEBAKARAN kecil di kawasan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, semalam.

Shah Alam: “Akibat terlalu panik, seorang pekerja wanita berlari dan pengsan ketika gerai marak disambar api. Mujur kebakaran dapat dikawal beberapa pekerja lain,” kata Mohd Izrul Zaharuddin, saksi kejadian gerai di kawasan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terbakar, semalam.

Kebakaran kira-kira jam 8 pagi itu dapat dipadamkan sepenuhnya oleh bomba.

Mohd Izrul, 26, yang juga pekerja kafe itu berkata, ketika kejadian seorang pekerja wanita berusia lingkungan 30 tahun baru membuka gerai menjual kuih dan makanan ringan.

“Ketika mahu membuka suis dapur untuk merebus jagung, getah saluran tong gas tercabut dan mengeluarkan api sebelum menyambar periuk.

“Walaupun kebakaran terkawal, kesan bara api masih menyala menyebabkan kami segera menghubungi bomba.

“Pada waktu itu, kafe ini baru saja beroperasi dan masih tiada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, kebakaran memusnahkan hampir keseluruhan gerai.

“Api tidak merebak selepas sistem pemercik air di kawasan itu terpasang dan pekerja turut menggunakan hos pemadam api untuk mengawal kebakaran,” katanya.

myMetro 28 April 2016



0 comments:

Post a Comment