April 19, 2016

'Adakala kami hanya beralas nasi dan kicap'

Haslinda bersama dua anaknya.

PASIR GUDANG - Kehidupan empat sekeluarga dari Pasir Gudang, di sini, berubah sekelip mata apabila kini tidak lagi memiliki pendapatan tetap bagi menampung kehidupan.

Haslinda Mokri, 42, berkata, dia sebelum ini bekerja di sebuah kilang berdekatan rumah bagi menampung perbelanjaan keluarga kerana suaminya hanya bekerja sebagai buruh binaan.

“Saya dah kerja bermacam jenis kilang sejak 15 tahun lalu sebagai operator, dapatlah menampung perbelanjaan anak-anak, sewa rumah dan buat duit makan.

“Tapi sejak tiga bulan lalu, penyakit asma yang saya hidap sejak remaja lagi semakin kritikal sehingga saya tak mampu lagi bekerja, menyebabkan kami sekeluarga mengalami kesempitan dari segi pendapatan,” katanya.

Menurutnya, suaminya, Mohd Adifitri Ahmad, 29, dibayar gaji harian RM60 sehari dan bergantung kepada projek.

"Memang tak cukup nak tampung perbelanjaan terutama untuk dua anak berusia 5 dan 6 tahun.

“Jika ada projek, suami keluar bekerja, jika tidak dia cuba buat apa sahaja kerja yang termampu untuk mencari duit.

“Susah memang susah, tetapi apabila memikirkan ada lagi insan di luar sana yang lebih susah daripada saya, jadi saya pasrah, meskipun adakala kami hanya beralas nasi dan kicap,” katanya.

Haslinda berkata, dia tidak pernah mendapat mana-mana pembiayaan dan berharap sebarang bentuk bantuan atau pekerjaan di rumah yang boleh dilakukannya.

“Saya memang tak boleh keluar bekerja dan bersyukur kerana dapat rawatan di hospital serta klinik kerajaan, cuma jika serangan terkena waktu malam, saya cuba bertahan sehingga pagi.

“Selain bantuan, saya harapkan jika ada pekerjaan yang boleh saya lakukan di rumah kerana ia lebih terjamin,” katanya.

Sinar Harian 5 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment