April 19, 2016

Remaja berharap dapat jumpa ayah kandung



KULIM - Seorang nenek yang menjaga cucunya, Mashitoh Anuar Shahrizam, 16, sejak 14 tahun lalu, merayu bapa kandung remaja itu pulang menemuinya segera.

Che Som Mahmod, 66, berkata, Mashitoh ditinggalkan ibu kandungnya Aisyah Ali, 42, sejak berusia dua tahun selepas berkahwin kali kedua.

“Saya berjumpa ibu kandung Mashitoh 14 tahun lalu, sebelum dia berpindah mengikut suami barunya akibat perselisihan faham yang timbul.

“Sehingga sekarang saya tak dapat hubungi ibunya dan tidak mengetahui lokasi anak sulung (Aisyah) saya itu, namun alamat terakhir di Alma, Bukit Mertajam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, cucunya itu terlalu berharap dapat berjumpa dengan ayah kandungnya, Anuar Shahrizam Yaakub, 40.

“Kami dimaklumkan bapa kandungnya ada di Batu Menunggul, Pendang, tapi lokasi sebenar kami tak tahu. Nak pergi cari kami tak mampu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim, Mohamad Zarir Mohamad Khozali berkata, sesiapa yang mengenali ibu bapa remaja berkenaan diminta menghubungi pihak JKM segera.

“Kita bagi tempoh sehingga 11 April ini sebelum ia di bawa ke mahkamah bagi kanak-kanak pada 12 April ini untuk memberi hak penjagaan sementara,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pelindung JKM Kulim, Regina Shaari di talian 04-4907403.

Sinar Harian 5 April 2016

0 comments:

Post a Comment