April 19, 2016

Ada sebab anak-anak jual bubur

Rumah yang didiami Noridah bersama 20 lagi ahli keluarga.

KUANTAN - Keluarga kepada kanak-kanak yang menjual bubur berdekatan padang Taman Bukit Rangin disahkan menerima bantuan daripada agensi berkaitan bagi menampung perbelanjaan lapan beranak itu termasuk keperluan persekolahan.

Noridah Mohd Nor, 38, yang kematian suami pada tahun 2014 menyara tujuh anak yang lima daripadanya kini masih bersekolah.

Anak sulung lelaki berusia 19 tahun difahamkan baru tamat pengajian kursus pendawaian di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka. Manakala anak kedua, Nor Fatin Shahira Buhari, 17, tidak bersekolah sejak tingkatan satu. Kedua-dua mereka mempunyai kad OKU kerana masalah pembelajaran.

Anak ketiga, Mohd Baharuddin, 14, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan dan Mohd Zulfikri, 12, akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)

Tiga lagi anak, Nuralia Nabilla, 10; Mohd Amirul, 7,  dan Halif Hakimi berusia lima tahun.

Mohd Baharuddin dan Mohd Zulfikri merupakan adik-beradik yang sering dilihat menjaja bubur di padang Taman Bukit Rangin pada setiap hari seawal jam 5 petang.

Kisah dua beradik itu menjadi viral di laman sosial apabila seorang pelanggan memuat naik keluhan Mohd Baharuddin yang tidak berdaya lagi  menjual bubur pada setiap petang.

Terima pelbagai bantuan

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Panda 2, Abdul Radzi Ahmad berkata, keluarga itu sebelum ini menyewa rumah kedai di Kampung Chendering sebelum berpindah di Batu 6.

Menurutnya, rumah berkenaan turut didiami dua keluarga lain iaitu adik kepada Noridah dan menjadikan kesemua mereka seramai 21 orang.

“Nasib keluarga ini di bawah perhatian JKKK dan kami menguruskan permohonan kepada Pusat Zakat Pahang yang menyalurkan bantuan bulanan RM300 sejak 2014.

“Noridah turut menerima bantuan pencen penakat (arwah suami) sebanyak RM900 sebulan. Dia juga menerima bantuan baucar Pasaraya Darul Makmur (PDM) bernilai RM100 sebulan untuk belanja barang keperluan yang disalurkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip),” katanya.

Beliau difahamkan anak Noridah yang masih bersekolah diberi bantuan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan bantuan kepada ibu Noridah yang kini berusia 67 tahun dan adiknya seroang ibu tunggal enam anak.

“Pihak JKKK memberi perhatian sewajarnya kepada keluarga ini bagi memastikan nasib mereka terutama anak-anak kecil dan masih bersekolah terbela dan tak tercicir pelajaran.

“Namun ada di antara anak ini yang masih menjual bubur di Taman Bukit Rangin yang terletak kira-kira lebih lima kilomter dari rumah mereka sehingga lewat malam.

“Rumah yang mereka diami sekarang dibina sendiri tetapi atas tanah individu yang dipercayai pemilik kilang batu-bata,” katanya.

Bersesak dalam satu rumah

Noridah mengakui mereka sekeluarga amat memerlukan bantuan rumah PPRT dan permohonan dibuat pada 2012 namun tiada jawapan sehingga ke hari ini.

Noridah juga tidak sampai hati melihat dua anaknya iaitu Mohd Baharuddin dan Mohd Zulfikri berjalan jauh untuk menjual bubur.

Namun katanya, dia tiada pilihan lain kerana bantuan yang diterima tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka lapan beranak.

“Kami tinggal bersama ibu saya dan keluarga dua adik lain. Kami memang berkongsi duit untuk perbelanjaan harian secara bergilir-gilir.

“Memang saya sendiri tak sampai hati lihat anak jual bubur tapi tiada pilihan sebab saya ada tekanan darah rendah,” katanya yang kini mengandung enam bulan hasil perkahwinan kedua dan bercerai Oktober lepas.

Jual bubur untuk bantu ibu

Setiap hari selepas pulang dari sekolah, Mohd Baharuddin akan berjalan kaki sejauh lebih lima kilometer ke padang Taman Bukit Rangin untuk menjual bubur  bersama adiknya, Mohd Zulfikri dan seorang sepupu, Mohd Izzad Syazli, 13.

Dia menjaja kuih sejak berusia 11 tahun dari pintu ke pintu di sekitar perumahan Sungai Isap sebelum menjual bubur di padang.

“Kami jual dengan rela hati.. kami perlu cari duit bantu keluarga kecuali tak sihat. Saya buat kerja sekolah selepas balik menjual  tapi ada juga  tak sempat siap,” katanya.

PKZ tambah bantuan

Jurucakap PKZ cawangan Kuantan ketika dihubungi berkata, ibu pelajar itu menerima bantuan zakat bulanan sebanyak RM300 sebulan selain barangan  dari Pasaraya Darul Makmur sebanyak RM100.

“Bagaimanapun, selepas menerima maklumat sebelum viral berkenaan, kita menambah bantuan barangan RM200 sebulan bermula April,” katanya.

Menurutnya, PKZ sudah maklum mengenai keadaan keluarga Noridah dan ahli keluarga yang tinggal bersamanya.

“Kita berharap keluarga itu dapat memanfaatkan bantuan yang diterima,” katanya.

Sinar Harian 10 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment