March 1, 2016

Tiga bulan mayat dalam rumah

Gombak: "Saya terkejut apabila tuan rumah sewa beritahu makcik Murni sudah tiga bulan tidak bayar sewa.

"Berasa tidak sedap hati, saya bersama jiran ke rumah sewa wanita itu sebelum menjumpai mayatnya dalam keadaan terbaring dan sudah reput di dalam tandas," kata jiran wanita warga emas berusia 60-an yang dipercayai meninggal dunia tiga bulan lalu, namun mayatnya hanya ditemui pada 7 malam semalam di rumah sewanya di Selayang Baru, di sini.

Jiran makcik Murni yang mahu dikenali sebagai Sarinah Ruslan, 40, berkata, wanita itu sudah menyewa di rumah berkenaan bersendirian sejak 10 tahun lalu.

"Selepas dimaklumkan oleh tuan rumah yang disewa makcik Murni, saya bersama seorang lagi jiran mengetuk rumahnya, namun tidak berjawab. Saya bersama jiran segera memecahkan pintu rumah mangsa sebelum mendapati televisyen dan lampu rumah berkenaan dalam keadaan terpasang.

"Saya terdengar bunyi air, dan menyangka makcik Murni sedang mandi. Bagaimanapun, sebaik ke tandas saya menemui mayat wanita itu,” katanya.

Menurutnya, dia segera menghubungi polis sebelum sepasukan anggota polis dari Balai Polis Gombak tiba di tempat kejadian dan melakukan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan mayat itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

myMetro 1 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment