March 16, 2016

Sara hidup hanya dengan RM800

Che Hasnah bersama anak dan cucunya.

GOMBAK - “Makcik harap sangat dapat bantuan daripada mana-mana pihak sebab makcik takut bila makcik dah tiada, anak tunggal dan cucu makcik akan hidup terbiar,” luah seorang warga emas, Che Hasnah Che Mat.

Wanita berusia 68 tahun itu berkata, kehidupan seharian mereka anak beranak hanya bergantung pencennya  sebagai guru sebanyak RM800 sebulan.

“Kadangkala, makcik terpaksa berhutang dengan kedai berhampiran masa nak beli barang keperluan, nasib baik pemilik kedai itu baik dan faham keadaan makcik,” katanya pada program Skuad Jejak Kemiskinan, Lembaga Zakat Selangor (LZS), baru-baru ini.

Menurutnya, dia yang menghidap diabetes dan darah tinggi terpaksa menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik berhampiran setiap bulan dengan menaiki bas.

“Anak tunggal makcik tak kerja sebab terpaksa jaga lima anaknya yang masih kecil. Tiga daripadanya masih bersekolah,” katanya.

Pengurus Lembaga Zakat Selangor Daerah Gombak, Azhar Yahya Arif berkata, operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu itu bertujuan mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin.

Menurutnya, dalam program kali ketiga ini, ia melibatkan 50 keluarga di sekitar kawasan Selayang.

“Siasatan terus dari rumah ke rumah dijalankan untuk menyiasat keluarga berkenaan sama ada mereka layak untuk mendapat bantuan atau tidak,” katanya.

Menurutnya,  setakat ini Gombak mempunyai seramai 3,011 keluarga asnaf fakir dan miskin sehingga bancian Januari lalu.

Sinar Harian 16 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment