March 12, 2016

Lelaki ditemui mati dibunuh di hotel bajet

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga tempatan ditemui mati dipercayai dipukul dalam satu kejadian di sebuah hotel bajet di Damansara Damai, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa yang berusia 39 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai dalam salah sebuah bilik hotel bajet tersebut oleh seorang pekerja hotel yang datang untuk memeriksa bilik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, mangsa dikatakan menyewa bilik itu sejak Isnin lepas bersama kira-kira lima lagi rakannya yang juga dipercayai warga tempatan.

"Rakan-rakan mangsa bagaimanapun telah melarikan diri sebelum ketibaan polis.

"Kami sedang mengesan kesemua rakan mangsa untuk disoal siasat bagi membantu siasatan.

Tambahnya, punca dan motif kejadian masih dalam siasatan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. K! ONLINE

12 Mac 2016


Mati dibunuh di bilik hotel

Petaling Jaya: Lelaki warga tempatan berusia 39 tahun ditemui mati dibunuh di bilik hotel bajet di Damansara Damai di sini, malam tadi.

Mayat lelaki itu ditemui pada 10 malam oleh pekerja hotel dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa mendaftar masuk sejak Isnin lalu bersama enam lagi dipercayai rakan mangsa.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 8 malam sebelum disedari pekerja hotel pada jam 10 malam.

"Sehingga kini enam rakan mangsa termasuk beberapa wanita masih dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"katanya.

myMetro 12 Mac 2016


Polis tahan 2 individu dalam kes bunuh hotel bajet

PETALING JAYA - Dua indvidu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam pembunuhan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun di sebuah hotel bajet di Damansara Damai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zaini Che Din berkata seorang lelaki berusia 40 tahun dan wanita berusia 30 tahun ditahan di sini hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari," katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian 10 malam itu, pekerja hotel menemukan mayat mangsa berusia 39 tahun di bilik hotel itu dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan di bahagian kepala.

Mohd Zaini berkata hasil bedah siasat menunjukkan mangsa, yang berasal dari Semenyih, dekat sini, mati akibat dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepala dan terdapat kesan jerut di lehernya.

"Mengikut semakan rekod polis, mangsa mempunyai lapan kes jenayah lampau berhubung penyalahgunaan dadah dan kecurian," katanya. -Bernama

12 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment