March 20, 2016

Jalan kaki 258km demi bapa

Razali menyertai perjalanan sejauh 258km bagi menghantar memorandum berkaitan perlombongan bauksit di Parlimen.

KUANTAN – Seorang anak sanggup berjalan kaki sejauh 258 kilometer (km) bagi membantah aktiviti perlombongan bauksit demi bapanya.

Razali Abu Bakar, 33, nekad bersama-sama 50 penduduk berjalan kaki dari Kuantan ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur bagi menghantar memorandum berhubung aktiviti perlombongan bauksit sejak Sabtu lalu.

Dia mahu memastikan kerajaan negeri dan pusat memberi jaminan Kampung Bukit Goh yang didiami bersama keluarga tidak akan tercemar seperti sebelum ini.

Menurutnya, apabila mengetahui mengenai usaha itu, dia mengambil risiko menyertainya demi bapanya, Abu Bakar Seman yang menderita sakit asma disebabkan aktiviti perlombongan bahan mineral itu.

“Saya memang marah kerana debu merah yang terhasil akibat perlombongan bauksit jejas kesihatan ayah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Razali memulakan perjalanan dari Berserah hingga ke Mertakab, Temerloh yang mengambil masa enam hari.

Menurutnya, dia lega apabila perlombongan bauksit dihentikan sementara.

“Saya sedar operasi bauksit hanya sementara dihentikan dan selepas habis tempoh tiga bulan, operasi tersebut akan bermula semula.

“Jadi tidak mustahil bapa saya sekali lagi terdedah dengan bahaya debu bauksit dan kerisauan serta kebimbangan mula melanda diri saya apabila tempoh itu akan tamat kurang dari sebulan,” katanya.

Pemuda itu berkata, dia tidak pernah memikirkan kesakitan dialaminya apabila berjalan jauh seperti melecek tapak kaki, demam atau sakit badan, apa dimahukannya ialah satu langkah dan produser baharu diimplementasi bagi mengawal pencemaran akibat bauksit.

Katanya, apabila Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menganjurkan kempen bagi melanjutkan tempoh moratorium perlombongan bauksit ini, Razali antara pihak yang gembira dan lalu secara sukarela untuk menghantar memorandum bantahan kepada kerajaan persekutuan.

“Saya minta kerajaan boleh lanjutkan tempoh itu memandangkan tiada langkah baru diumumkan dalam tempoh dua bulan sebelum ini,” katanya.

Selain  itu, Yeo Kim Kee, 62, dan Razali adalah dua peserta larian ini yang kekal berjalan hingga kini.

Kedua-dua mereka berazam mahu menamatkan perjalanan dari awal hingga akhir, iaitu dari Kampung Kubang Badak, Beserah pada 12 Mac hingga ke Parlimen (28 Mac) yang jaraknya sejauh kira-kira 258km.

Kim Kee tinggal di Taman Impian, Kuantan mengakui amat terkesan apabila kawasan yang didiami itu menjadi laluan lori pembawa bauksit ke pelabuhan Kuantan.

Walaupun sudah berusia, dia sangat bersemangat mahu menjayakan usaha tersebut.

Dia  dan penduduk lain akan menyerahkan memorandum cadangan dalam menguruskan perlombongan bauksit bukannya mahu ia ditutup terus.

“Yang pasti kita cadang tempoh moratorium dilanjutkan selepas 15 April ini kerana Fasa 1 pun masih belum selesai lagi,” katanya.

Sinar Harian 18 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment