March 20, 2016

Dua beradik masih gagal dikesan

Dokumen mahkamah dan surat dikeluarkan JKM serta laporan polis yang dibuat Siti Aminah bagi mengesan kedua-dua anaknya.

JERANTUT - Walaupun sudah lebih sebulan kisah mereka disiarkan dalam akhbar, dua kanak-kanak yang dilarikan bapa mereka masih belum dapat dikesan.

Ibu kanak-kanak terbabit, Siti Aminah Mohd Basri, 36, berkata, laporan polis telah dibuat bagi mengesan Siti Auni Zaharah Mohd Zaid, 7, dan Muhammad Aisy Zafran Mohd Zaid, 5, memandangkan dia memperoleh hak jagaan interim.

“Saya menerima surat daripada Jabatan Bantuan Guaman Cawangan Raub pada 9 Mac lalu dan satu laporan polis telah dibuat di sini, bagi mengesan anak saya.

“Selain itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga ada mengeluarkan surat kepada suami saya yang  mengarahkannya supaya prihatin dengan nasib kedua-dua anak kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, dia juga telah pergi ke alamat terakhir suaminya di No. 20, Taman Sri Watan, Ampang, Selangor, namun lelaki itu dan dua anaknya tiada di situ.

“Saya ada bertanya jiran berhampiran, tapi tiada siapa yang tahu ke mana suami saya bawa anak-anak berpindah,” katanya.

Siti Aminah berkata, berdasarkan maklumat diterima, sehingga kini kedua-dua anaknya itu belum didaftarkan di mana-mana sekolah.

Katanya, dia bimbang Siti Auni Zaharah dan Muhammad Aisy Zafran ketinggalan dalam pelajaran kerana masih tidak bersekolah.

Wanita itu berkata, dia merayu bantuan orang ramai yang ternampak atau mempunyai maklumat mengenai suami dan anak-anaknya supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Siti Aminah sudah terpisah dengan dua anaknya itu selama kira-kira sembilan bulan dan kini hanya anak bongsunya, Muhammad Azad Zaquan Mohd Zaid, 3, berada di  bawah jagaannya.

Kedua-dua kanak-kanak itu sepatutnya memulakan sesi persekolahan pertama mereka awal Januari lalu.

“Saya dah daftarkan anak sulung di sebuah sekolah rendah dan anak kedua di sebuah tadika, tapi disebabkan suami melarikan mereka, saya tidak dapat menghantar mereka ke sekolah,” katanya.

Sinar Harian 18 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment