March 20, 2016

Isteri bingung suami gagal dihubungi

Sahele gagal dihubungi setelah kali terakhir berjumpa isterinya pada Isnin lalu.

BATU PAHAT - Seorang isteri di Kampung Patah Pedang, Minyak Beku, di sini, bingung apabila suaminya gagal dihubungi setelah kali terakhir mereka berjumpa Isnin lalu.

Siti Sofia Md Sani, 29, berkata, kali terakhir dia berjumpa suaminya, Sahele Sardan, 30, menaiki kenderaan Perodua Rusa berwarna hijau tua milik syarikat tempatnya bekerja.

Katanya, ketika itu, suaminya yang membawa muatan mesin perabot rosak memberitahu ingin pulang ke Senai selepas menghantar mesin tersebut ke Parit Sulong.

“Petang itu (Isnin), dia ada singgah ke rumah sebentar untuk berehat selepas pulang dari hantar barangan milik syarikatnya di Parit Sulong.

“Namun, sekitar jam 10 malam, dia kemudian meneruskan perjalanan ke Senai. Pada jam 11.50 malam saya cuba hubunginya tetapi gagal.

“Waktu tu saya dah rasa tak sedap hati kerana jarang dia buat begitu, biasanya jika saya telefon dia akan jawab atau dia akan telefon semula,” katanya.

Siti Sofia berkata, turut menambah kebimbangannya apabila majikan suaminya memberitahu Sahele sudah beberapa hari tidak datang bekerja, sedangkan dia  pekerja yang tidak pernah ponteng kerja.

Bimbang dengan keadaan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Senai, Rabu lalu.

“Saya bimbang jika berlaku sesuatu buruk terhadapnya, yang memeningkan kepala saya kini adalah punca sebenar kehilangan suami kerana sebelum ini dia tak pernah ada musuh mahupun buat pinjaman haram.

“Saya juga ambil keputusan buat laporan polis sekali lagi di Balai Polis Batu Pahat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan lelaki terbabit.

Katanya, polis percaya lelaki tersebut masih berada di sekitar Johor berikutan tiada rekod ke luar negara, sejurus semakan menerusi Jabatan Imigresen Batu Pahat dijalankan.

“Polis kini masih menyiasat bagi mengenal pasti punca kehilangan suspek dan kini proses menjejakinya sedang giat dijalankan,” katanya.

Sinar Harian 19 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment