March 22, 2016

Bantu bukan sebab ‘uniform’ tapi tanggungjawab

Zuraini membantu seorang mangsa kemalangan berbangsa India yang tersebar di laman sosial.

SEREMBAN - “Saya turun untuk bantu bukan kerana uniform yang saya pakai, tapi atas rasa tanggungjawab sesama manusia.

Demikian kata Zuraini Abu Bakar, 26, jururawat dari Klinik Kesihatan Rantau  yang menjadi viral selepas tindakannya membantu mangsa kemalangan berbangsa India di Jalan Utama Taman Seremban Jaya di sini, Sabtu lalu.

Menurutnya, dia tidak menyangka tindakannya itu telah menjadi viral dan hanya mengetahuinya daripada suami.

“Saya pelik suami tiba-tiba hantar WhatsApp cakap saya dah glamor sekarang, saya tanya kenapa dan bila dia hantar gambar itu, saya pula rasa malu sebab tak sangka ada yang sempat ambil gambar.

“Saya tak pernah terfikir pun nak cari glamor dengan membantu orang. Semua  itu adalah kebetulan ketika saya dalam perjalangan pulang ke rumah di Taman Seremban Selatan tidak jauh dari lokasi kemalangan,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menceritakan kejadian itu Zuraini berkata, dia pada awalnya menyangka ada sekatan jalan raya, tapi rupa-rupanya berlaku kemalangan.

Melihat dari dalam kereta ada seorang wanita terbaring di atas jalan tanpa berfikir panjang dia memberhentikan kenderaan untuk menghulurkan bantuan.

“Saya sebenarnya tiada sebarang alat bantuan tapi saya rasa terpanggil untuk membantu. Bukan kerana saya bertugas sebagai jururawat, tapi sebagai seorang manusia.

“Sebaik saja di lokasi soalan pertama yang saya tanya ‘sudah hubungi ambulans atau belum’. Bila ada yang cakap sudah hubungi, saya rasa lega dan tunggu sehingga ambulans sampai,” katanya yang bertugas sebagai jururawat sejak empat tahun lalu.

Malah kata Zuraini, di lokasi itu juga ramai yang membantu sekaligus menunjukkan rakyat di negara ini sememangnya bersikap prihatin.

“Tak kisahlah siapa yang perlu dibantu atau dia berbangsa apa. Yang penting kita sebagai rakyat Malaysia perlu ada rasa tanggungjawab bersama,”katanya.

Gambar seorang jururawat membantu mangsa kemalangan seorang wanita berbangsa India di Taman Seremban Jaya Sabtu lalu,  menjadi viral selepas dimuat turun di laman sosial dan mendapat perhatian ramai netizen.

Keterangan gambar itu memberi makna yang besar apabila ditulis mditulis “Despite many nation’s issues, she potrayed a true Malaysian spirit by helping others without being prejudice. Proud to be a Malaysian moments.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya berbangga dengan sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh jururawat berkenaan yang perlu dijadikan contoh oleh semua.

“Amalan kami sedia membantu perlu dijadikan budaya kerja setiap jururawat tidak kira di mana sahaja mereka berada sama ada ketika menjalankan tugas atau di luar waktu bekerja.

“Beliau perlu diberi penghargaan dan menjadi contoh kepada semua jururawat. Bagi pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, kita akan memberi surat pujian kecemerlangan kepadanya,”katanya.

Sinar Harian 21 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment