March 22, 2016

Nyaris dihempap lori beras

Ghazali sempat mengelak ke bahagian tepi jalan sebelum sebuah lori membawa muatan beras terbalik di sebelah keretanya.

BERUAS - Tiga sekeluarga nyaris dihempap lori muatan beras yang terbalik dalam satu kejadian di Kampung Kedah di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, pasangan suami isteri bersama seorang anak saudara berusia 13 tahun dalam perjalanan dari Seri Iskandar ke Kampung Tengah untuk menghadiri kenduri kahwin sempat mengelak ke bahagian tepi jalan apabila melihat sebuah lori muatan beras terbalik ke arah mereka.

Ghazali Din, 53, berkata, apabila tiba di tempat kejadian, dia melihat lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan seperti tidak stabil.

“Jalan di situ agak berselekoh dan saya perasan lori berkenaan seperti terumbang-ambing lalu saya segera mengelak ke tepi jalan.

“Tak dapat gambarkan perasaan saya ketika itu bila melihat timbunan beras yang diletakkan di dalam guni jatuh mengenai sebahagian kereta kami,” katanya yang memandu kereta jenis Kia Spectra.

Menurutnya, dia bersama isteri, Rozaina Mat Amin, 46, dan anak saudaranya bergegas keluar dari kereta.

“Ketika lori berkenaan terbalik kami masih lagi di dalam kereta dan tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya berharap kami tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya amat bersyukur walaupun hampir-hampir dihempap lori besar itu, kami sempat menyelamatkan diri.

“Saya tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan kami sekiranya saya tidak sempat mengelak ke tepi dan tidak perasan lori itu hampir terbalik,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori berusia lingkungan 20-an itu yang enggan dikenali berkata, dia dalam perjalanan dari Bertam, Pulau Pinang menuju ke Kuala Selangor.

Menurutnya, dia membawa muatan beras sebanyak 35 tan metrik dan memandu berseorangan.

“Ketika tiba di tempat kejadian tiba-tiba pandangan saya menjadi gelap dan sekelip mata lori terbalik.

“Saya sendiri tidak menyedari bagaimana keadaan ini boleh berlaku dan saya terpaksa keluar melalui tingkap di bahagian tempat duduk penumpang.

“Namun saya bersyukur kerana tidak cedera dalam kejadian ini," katanya yang masih trauma.

Sinar Harian 21 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment