March 16, 2016

Abang ditemui dalam bas

Azad Farhan

DUNGUN - Remaja OKU, Azad Farhan Md Zaman, 16, yang hilang setelah keluar dari rumah keluarga di Jalan Alur Tembesu, di sini, ditemui dalam keadaan selamat di Hentian Bas Dungun, kelmarin.

Azad Farhan yang mengalami sindrom down, disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 10 pagi dan gagal dikesan sehingga lewat petang.

Bagaimanapun, maklumat orang ramai yang melihat kelibat pelajar pendidikan khas dari SMK Sultan Omar itu menaiki sebuah bas henti-henti, menjadi petunjuk kepada keluarga untuk mengesannya.

Selepas lapan jam hilang, Azad yang mesra dipanggil Abang, akhirnya ditemui di dalam sebuah bas, kira-kira jam 7.30 malam hari sama.

Abang tiri, Mohd Hafiz Daud, 29, berkata, selepas menyedari Abang hilang, ibunya, Hasnah Abas, 53, begitu tertekan dan menangis sepanjang hari kerana bimbang mengenai keselamatan adiknya itu.

Sehubungan itu katanya, mereka membuat laporan polis dan meminta bantuan orang ramai untuk sama-sama mengesan adiknya itu.

“Keluarga memang tak benarkan dia (Azad) keluar sendirian memandangkan dia tidak tahu jalan pulang dan tak boleh bercakap. Sewaktu kejadian, Azad berada di rumah bersama bapa dan adik, tetapi mereka tidak sedar bila dia keluar rumah.

"Kehilangan disedari apabila ibu (yang bekerja) menghubungi bapa di rumah bertanyakan sama ada Abang sudah makan atau belum. Ketika itu dia tiada, sebab itu kami cari di merata-rata tempat sekitar Dungun, tetapi dia masih tidak ditemui," katanya.

Menurut Mohd Hafiz, ada pihak kemudian memaklumkan ternampak Azad di hadapan sebuah bangunan dan kakitangan di situ mengaku ternampak seorang remaja OKU (berbaju merah) menaiki sebuah bas dalam perjalanan dari Dungun ke Kuala Terengganu.

“Saya hubungi syarikat terlibat, tetapi ketika itu mereka belum terima sebarang kes mengenai kehadiran seorang penumpang OKU di dalam bas. Oleh sebab terlalu risau mengenai keadaan Azad, ibu turut menunggu di perhentian bas sehingga Abang ditemui.

“Dia (Azad) dilihat dalam keadaan letih.. mungkin kelaparan dan ketakutan. Kami bernasib baik kerana dia tidak turun dari bas ketika di perhentian Kuala Terengganu sehingga pemandu patah balik ke sini.

“Tidak dapat dibayangkan apa akan berlaku jika dia turun dari bas sebab dia tidak tahu apa-apa dan tidak pandai menguruskan diri sendiri. Selepas ini kami akan lebih berhati-hati supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Sinar Harian 16 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment