March 16, 2016

Mana Mashitah dan anak-anaknya?

Berita kehilangan tiga beranak itu menjadi viral dilaman sosial sejak Khamis lalu.

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu tunggal bersama dua anaknya dipercayai hilang selepas seminggu tidak pulang ke rumah di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir, Kuala Nerus, sejak keluar dari kediaman terbabit pagi Rabu lalu.

Mashitah Hamid, 24, dipercayai keluar rumah bersama dua anaknya, masing-masing berusia lima tahun dan lapan bulan untuk ke Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Nerus.

Bagaimanapun, ketiga-tiga beranak itu tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sehingga semalam.

Menurut ibunya, Rokiah Yusof, 50, sebelum keluar dari rumah, anak keempat daripada enam beradik itu sempat memesan kepada salah seorang abangnya agar menjemput mereka di klinik terbabit sekitar waktu tengah hari.

“Namun, setelah abangnya tiba di klinik itu seperti waktu yang dijanjikan, didapati ketiga-tiga beranak itu tidak ada di situ.

“Selepas beberapa jam menunggu, abangnya mengambil keputusan pulang ke rumah kerana menyangkakan mereka pulang sendiri.

“Tetapi, sehingga malam, bayang mereka masih tidak nampak sebelum kami mengambil keputusan menghubunginya, namun tidak dijawab,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Rokiah berkata, pada awalnya mereka menyangkakan Mashitah dan anak-anak pergi ke rumah keluarga bekas mertuanya di Kota Bharu, Kelantan.

“Tetapi mendukacitakan, keluarga di sana memberitahu yang tiga beranak itu tidak ada sebelum kami cuba menghubungi rakan-rakan Mashitah dan jawapan sama diberikan tidak ada.

“Bimbang akan keselamatan mereka tiga beranak, kami mengambil keputusan membuat laporan polis pada hari Khamis dan mula menyebarkan berita kehilangan mereka di laman sosial bagi mendapatkan bantuan rakan-rakan mencari mereka,” katanya.

Jelas Rokiah, anaknya itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan ahli keluarga lain dan sentiasa ceria meskipun berpisah dengan bekas suaminya sebelum ini.

“Mustahil dia melarikan diri sebab sebelum ini, kami tidak pernah ada masalah mahupun berselisih faham dan kami yakin dia memang tidak mempunyai musuh,” katanya.

Dalam masa sama, Rokiah merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat tentang anak dan cucunya itu dapat menghubungi di talian 010-9026869.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Ab Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kehilangan tiga beranak itu dan kini pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi menjejaki mereka.

Sinar Harian 16 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment