March 9, 2016

3 bas pelancong terbakar dipercayai perbuatan khianat


Keadaan bas yang terbakar di Taman Mutiara, awal pagi tadi.

Keadaan bas yang terbakar di Taman Mutiara.

PONTIAN - Tiga buah bas pelancong musnah dalam kebakaran dipercayai perbuatan khianat di dua lokasi berbeza iaitu Taman Mutiara dan Jalan Sungai Gurap di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, kejadian pertama melibatkan  dua buah bas yang diletakkan di tepi jalan Taman Mutiara berdekatan dengan sebuah stesen minyak ‎‎kira-kira jam 2.15 pagi.‎

Bagaimanapun, selepas lima minit s‎ebuah lagi bas terbakar di Jalan Gurap berdekatan dengan sebuah pasaraya yang terletak kira-kira 1 kilometer daripada lokasi kejadian pertama.

"‎Siasatan awal yang dijalankan, kita percaya ketiga-tiga bas ini telah dibakar menggunakan diesel. Kebakaran dipercayai bermula di bahagian kedua-dua  enjin bas sebelum api merebak dan memusnahkan keseluruhan bahagian bas.

"Saksi kejadian turut memberitahu melihat kelibat seorang lelaki berdekatan dengan bas terbabit sebelum terbakar.

"Kemungkinan suspek yang sama membakar bas di lokasi kedua di Jalan Gurap. Ketiga-ketiga berkenaan dimiliki oleh pengusaha yang sama,"katanya.

Jelasnya lagi, ‎pengusaha bas berkenaan kini berada di Ipoh Perak dan pihak polis sedang mengenalpasti suspek.

"Sepatutnya pagi ini, bas terbabit sudah ke Singapura untuk membawa pelancong,"katanya.

Sinar Harian 8 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment