February 9, 2016

Wanita ditemui selamat selepas hilang ketika mendaki

IPOH - Seorang wanita ditemui selamat selepas hilang hampir 24 jam ketika mendaki Bukit Kledang, di sini, bersama suaminya sejak jam 7 pagi semalam.

Sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan wanita terbabit pada jam 8.10 malam.

Mangsa, Aida Fatin Ahmad, 22, dipercayai hilang sejak Isnin lalu ketika dia dan suaminya mendaki bukit itu secara berasingan.

"Suami wanita itu telah mencari isterinya terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.36 petang.

"Difahamkan, mangsa dipercayai telah mendaki bukit melalui laluan denai ke puncak stesen pencawang satu, manakala suaminya mengikut jalan berturap.

"Bagaimanapun, setibanya suami wanita terbabit di puncak stesen pencawang satu, isterinya didapati tiada di kawasan tersebut," katanya.

Berikutan itu, bomba telah menggerakkan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) bersama seorang pegawai dan 10 anggota untuk mencari dan menyelamat wanita terbabit.

"Wanita itu ditemui dalam keadaan keletihan pada jam 4.25 pagi tadi dan dibawa turun ke kaki bukit oleh anggota bomba dan dibawa anggota Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) untuk rawatan awal.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 7 pagi," ujarnya.

Sinar Harian 9 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment