February 9, 2016

5 cedera dalam kemalangan berhampiran IJN

KUALA LUMPUR - Lima individu cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas berhampiran Institut Jantung Negara, di Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 petang itu, sebuah Proton Iswara yang dinaiki lima individu berkenaan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah pacuan empat roda Pajero dan van keselamatan.  

Pemandu van, K Shanmuganathen, 40, yang dalam perjalanan ke Brickfields berkata, dia terkejut apabila kereta berkenaan hilang kawalan secara tiba-tiba lalu merempuh van dipandunya.

"Kereta itu sangat laju dan memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya namun terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Pajero dan van saya.

"Mujur saya dan seorang lagi rakan selamat walaupun van rosak teruk di bahagian hadapan...pemandu Pajero turut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Tinjauan Bernama mendapati kemalangan berkenaan mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira satu kilometer.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kerja-kerja pengalihan kenderaan sedang dijalankan.

Katanya, mangsa yang cedera terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. - Bernama

8 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment