February 25, 2016

Terkenang getir silam

AHMAD Basri beramah mesra dengan gelandangan ketika mengedarkan makanan percuma di Hentian Bas Komtar.

Georgetown: “Bukan mudah dan banyak cabaran apabila hidup sebagai mualaf sejak berusia 17 tahun. Jadi, rezeki yang Allah berikan saya turut kongsi bersama golongan susah dan antara caranya memberi makan dan minum percuma kepada 250 gelandangan pada setiap malam Jumaat,” kata Ahmad Basri Abdullah, 50.

Pengarah Urusan Ah’ Basri Satay itu berkata, usaha berkongsi rezeki kepada gelandangan di sekitar bandar raya ini dilakukan setiap malam Jumaat sejak 14 bulan lalu sebagai antara cara mensyukuri rezeki dan nikmat Allah selepas perniagaan sate diusahakan di Bayan Baru, di sini, mendapat sambutan.

Menurutnya, objektif utama Ah’ Basri Satay menerusi Biro Kebajikan Ah’ Basri Satay untuk menyumbang sambil bersedekah kerana perkongsian rezeki dituntut agama selain niat murni membantu golongan memerlukan.

“Saya tidak bermaksud mendabik dada atau mahu menunjuk-nunjuk, sebaliknya setiap sumbangan diberikan kerana Allah. Lagipun, sebagai mualaf, saya pernah mengalami zaman susah dan pelbagai rintangan sebelum perniagaan sate saya semakin baik kebelakangan ini,” katanya.

Menjadi rutinnya pada setiap malam Jumaat, Ahmad Basri memandu pacuan empat roda membawa bekalan makanan untuk diagihkan kepada gelandangan di sekitar Hentian Bas Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Jalan Masjid Kapitan Keling dan Jalan Penang bersama kakitangannya dan sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM).

myMetro 24 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment