February 10, 2016

Tabah jaga anak OKU

Sarina dan anaknya, Mohd Syharol bersyukur menerima bantuan kerusi roda dan barang keperluan harian yang disampaikan Khairuddin semalam.

KUANTAN – Seorang ibu muda tidak pernah kesal atau menyalahkan takdir apabila dikurniakan seorang anak kurang upaya dalam kehidupannya.

Sarina Abdul Wahab, 30, dari Jaya Gading di sini dapat menerima hakikat bahawa anaknya Mohd Syharol Nizam Abdul Karim, 10, dilahirkan tidak sempurna berbanding empat anaknya yang lain.

Katanya, Mohd Syharol yang dilahirkan cacat sejak lahir mengalami masalah ketumbuhan tulang belakang sehingga tidak mampu berjalan walaupun kadangkala dia berusaha untuk hidup seperti kanak-kanak normal lain.

“Saya reda dengan takdir ALLAH, walaupun dikurniakan zuriat tidak sempurna, saya menerima ketentuan ini dengan hati terbuka.

“Paling penting saya perlu menjalankan tanggungjawab membesarkan dan memberi kasih sayang kepadanya sebaiknya kerana dia amanah ALLAH,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan kerusi roda daripada Adun Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud di kediamannya di Jaya Gading di sini, semalam.

Sarina yang bekerja sebagai peniaga mengakui banyak cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang membesarkan Mohd Syharol dan empat anaknya.

“Cabaran itu sentiasa ada, sebab saya hanya berniaga kuih dengan pendapatan harian tidak menentu.

“Bila kuih dapat dihantar ke kantin sekolah, saya memperoleh kira-kira RM50 sehari dan jumlah itu dikira banyak dan sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga,” katanya.

Dalam menempuh liku-liku kehidupan, Sarina berkata, dia pernah mengalirkan air mata kerana tidak dapat memenuhi permintaan anak-anaknya dan sekali sekala mereka terpaksa berlapar kerana cuba memenuhi keperluan Mohd Syharol.

Katanya, banyak wang digunakan untuk membeli lampin pakai buang untuk Mohd Syharol, terutamanya ketika dia berada di sekolah.

“Dalam masa dua hari saya terpaksa belanjakan RM12.50 beli 10 keping lampin untuknya dan kos itu bagi saya amat membebankan,” katanya.

Walaupun terpaksa mengeluarkan wang banyak setiap bulan, Sarina bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan bulanan.

“Anak saya terima bantuan sebanyak RM200 setiap bulan dan wang ini saya gunakan bagi membeli keperluan Mohd Syharol,” katanya.

Sinar Harian 9 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment